Wednesday, January 30, 2013

MENAHAN DIRI DARI MARAH ...

Menahan diri dari marah
Sebuah hadis Rasulullah SAW yang menyebut tentang sifat menahan amarah:
“Sesiapa yang menahan marah, padahal dia boleh melepaskan kemarahannya, maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di depan sekalian makhluk dan disuruhnya memilih bidadari yang dia ingini.”
(HR. Abu Dawud – At-Tirmidzi)
Yang dimaksudkan dengan menahan marah di sini adalah seseorang itu cuba menelan marahnya, menahannya daripada terzahir serta bersabar dengannya semata-mata kerana takutkan Allah dan mengharapkan keredhaan-Nya sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya !
Bukanlah dia menahan kemarahan itu kerana mencari redha manusia atau kerana dia tidak mampu melaksanakannya (lemah kerana takutkan kuasa makhluk di sekelilingnya), tetapi dia meletakkan redha Allah dihadapannya, membatasi setiap tindakan dalam berinteraksi dengan manusia dan ujian kehidupannya.
Lantas, kelak Allah memanggilnya pada Hari Kiamat bersaksikan seluruh makhluk, dan dia berhak untuk memilih mana-mana bidadari syurga yang dia inginkan untuk dikahwininya serta menjadi isterinya di dalam syurga Allah yang kekal abadi. Subhanallah! Betapa besar ganjaran yang telah Allah sediakan buat orang yang menahan marahnya hanya kerana-Nya…
Inilah penolak buat seorang daie untuk memelihara marahnya, kerana dia tahu betapa besar ganjaran usahanya itu kelak berbanding usaha dirinya untuk menahan marah yang berbaki setelah dia langsai melepaskan amarahnya terlebih dahulu.
Lalu, dia berusaha menahan dirinya, membatasi akal fikirannya dengan kekuatan iman,bertindak dengan rasional saat dia diuji dan akhirnya mengharapkan sesuatu yang pasti dalam berhadapan dengan ujian kehidupannya.
Allah menggariskan sifat menahan marah ini sebagai sifat dan ciri-ciri orang yang bertaqwa sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 133-134:
“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. (Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”
Juga firman Allah SWT di dalam surah Al-Furqan ayat 63 tentang ciri-ciri ‘ibadurrahman:
“Dan hamba-hamba al-Rahman (Yang Maha Mengasihani) itu (ialah) orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati, dan apabila orang jahil menegur mereka, maka mereka mengucapkan kata-kata ‘salam’.”
Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:
“Kekuatan itu bukanlah ketika menang dalam pertarungan, sesungguhnya kekuatan yang sebenar ialah apabila dapat menahan diri dari kemarahan.”

No comments:

SURAH AL BAQARAH AYAT 1-5 AYAT 255 DAN AYAT 284-286 ..

Di bacaa waktu SUBUH dan Maghrib.. Penghalang ahli sihir dan penyelamat hari kiamat.. Dinukil dari hadit...