Tuesday, February 26, 2013

HADITH TTG ZAKAT ...

 

IBADAT ZAKAT

Firman Allah Taala :
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى(14)وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى(15)
"Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh); dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyu'). "(1)
Zakat fitrah ialah: "Zakat badan yang diwajibkan kerana tamat bulan Ramadhan dan dikeluarkan mengikut peraturannya. Benda yang dijadikan fitrah ialah makanan utama sesebuah negeri seperti beras di Malaysia. 
Kadarnya ialah satu gantang Baghdad - bersamaan 3 cupak sukatan Malaysia atau 3 kati 12 tahil (dua kilo 250 gram)." (2)
______________________________
1. Ayat 14 dan 15, Surah al-A'la.
Menurut sebuah hadith riwayat Ibn Khuzaimah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah ditanya mengenai ayat ini, lalu Baginda menerangkan.  Bahawa ayat-ayat itu diturunkan mengenai "zakat fitrah". (Al-Taj al-Jami' lil Usul 2:24). Menurut satu riwayat yang lain dari Saiyidina Ali r.a., bahawa maksud: "Membersihkan diri" yang tersebut dalam ayat ini ialah dengan mengeluarkan zakat fitrah dan maksud: "Menyebut nama Tuhan serta mengerjakan sembahyang" ialah mengucap takbir pada Hari Raya dan mengerjakan sembahyang Hari Raya.  (Tafsir al-Alusi, 30:10).
2. (Ibadat Zakat), terbitan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Dalil wajibnya diterangkan dalam hadith yang berikut:
100- عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ. (رواه البخاري ومسلم)
100- Dari (Abdullah) Ibn Umar r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah menentukan wajibnya zakat fitrah,  satu gantang dari buah tamar (kurma) atau satu gantang dari sya'ir (sejenis gandum), atas tiap-tiap seorang hamba abdi atau merdeka,  lelaki atau perempuan,  kanak-kanak (1) atau orang dewasa dari kalangan umat Islam .." (2)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadith ini selain daripada menjadi dalil tentang wajibnya "zakat fitrah" atas tiap-tiap seorang Islam, lelaki dan perempuan,  sama ada ia orang dewasa atau kanak-kanak,  menerangkan juga dua perkara lagi:
Pertama: Benda yang dijadikan zakat fitrah ialah makanan utama penduduk sesebuah negeri. Misalnya kalau gandum;  gandumlah dan kalau beras;  beraslah - zakatnya.
Kedua: Kadarnya ialah satu "صاع" (satu gantang menurut sukatan yang digunakan di Madinah dalam zaman nabi), bersamaan dengan 3 cupak sukatan Malaysia atau 3 kati 12 tahil.  (Dua kilogram 250 gram).

Masalah Membayar Zakat Fitrah Dengan Wang: 
Berdasarkan hadith yang lalu, zakat fitrah wajib dikeluarkan dari jenis makanan utama penduduk sesebuah negeri dan ini menjadi pegangan dalam mazhab Syafi'i (kecuali adanya darurat atau diperintahkan oleh pihak yang berkuasa, maka diharuskan membayarnya dengan wang sebagai ganti makanan - beras), seperti yang sedang diamalkan oleh Jabatan-Jabatan Agama Islam di Malaysia,  kerana memudahkan urusan pemungutan zakat fitrah dan pembahagiannya.
Masalah ini dihuraikan dalam kitab "Al-Syarah" seperti berikut:
Berfitrah dengan wang: 
(a) Membayar fitrah dengan wang adalah tidak sah mengikut mazhab Syafi'i jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan: "Wang ini untuk fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku". Tetapi harus digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: "Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku - pada tahun ini."
(b) Berfitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) adalah harus dalam mazhab Syafi'i tetapi lebih afdhal dengan makanan. Di dalam mazhab Hanafi pula lebih afdhal dengan harga daripada makanan.
Dalam mazhab kita Syafi'i yang mengharuskan ialah:
(1) Kerana darurat. 
(2) Kerana diperintahkan oleh raja (pemerintah).(3)
(c) Pemerintah menghukumkan berfitrah dengan wang itu kerana beberapa sebab yang bertujuan baik,  di antaranya:
(1) Asnaf yang lapan terutama fakir dan miskin lebih suka menerima wang daripada beras. 
(2) Menyimpan wang lebih selamat,  sedang beras selain daripada menyusahkan pihak pemerintah,  pejabat agama dan memerlukan upah mengangkutnya - akan rosak jika disimpan lama."(4)
______________________________
1. Zakat fitrah diwajibkan atas kanak-kanak dan dikeluarkan dari hartanya kalau ia mempunyai harta,  kalau tidak ada harta maka zakat fitrahnya itu diwajibkan atas orang yang menanggung nafkahnya. (Al-Taj al-Jami' liI Usul,  2:24).
2. Fath al-Bari, (4:111) dan Sahih Muslim- bi Syarh al-Nawawi (7:61).
3. Menurut kitab Al-Itharah (hlm. 5), bahawa keterangan mazhab Syafi'i yang tersebut ada dinyatakan dalam kitab (Al-Majmu') Syarah al-Muhazzab (5:431) dan keterangan mengenai mazhab Hanafi yang mengatakan: Tiap-tiap benda yang harus disedekahkan maka haruslah dikeluarkan menjadi bayaran ganti zakat - ada disebutkan dalam kitab Al-Majmu' (5:429).
Dalam kitab Al-Itharal juga (hlm. 5) ada menyebutkan keterangan kitab Al-Majmu' (5:429) bahawa dalil pihak yang mengharuskan zakat fitrah dengan harganya ialah hadith yang disebutkan oleh Imam Bukhari, rahimahullah dengan tegas sebagai ulasan, bahawa Saiyidina Muaz r.a., semasa diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. ke negeri Yaman sebagai pemungut zakat,  ia telah meminta mereka membayar zakat dengan kain keluaran negeri itu sebagai ganti gandum,  (kerana cara yang demikian katanya, bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar-pembayar zakat bahkan orang-orang miskin yang berhak menerima zakat di Madinah juga memerlukan pakaian).
4.
'Al-Itharah' (Kitab zakat) terbitan Jabatan Agama Islam,  Selangor.

Tujuan Zakat Fitrah Disyariatkan: 
Zakat fitrah disyariatkan dalam bulan Sya'ban, tahun hijriyah yang kedua(1) dan tujuan atau hikmatnya diterangkan dalam hadith yang berikut:
101- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ. (رواه أبو داود)
101- Dari Ibn Abbas r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. telah menentukan wajibnya zakat fitrah,  untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin,  oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang maqbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain. "(2)
(Riwayat Abu Daud)
Hadith ini, "asnad"nya elok (Jaiyyid) (3)
Menurut huraian ulama' rahimahullah orang yang melengahkan bayaran zakat fitrah sehingga luput waktunya yang ditentukan,  bukan sahaja berdosa,  bahkan wajib ia membayarnya sesudah itu.
Selagi zakat fitrah itu belum dibayar, maka zakat itu tetap menjadi hutang yang ditanggungnya, sehingga ia membayarnya walau pada akhir umurnya.(4)
______________________________
1. Fiqh Al-Sunnah (1:412).
2. 'Aun al-Ma`bud (5:3). Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Daruqutni.
(Fiqh al-Sunnah, 1:412).
3. Sebagaimana yang diterangkan dalam ulasan (Misykat al-Masabih, 1:572).
4. Fiqh al-Sunnah (1:414).

Masa Untuk Mengeluarkan Zakat Fitrah:
Menurut pegangan alim ulama' dalam mazhab Syafi'i masa bagi mengeluarkan fitrah, terbahagi kepada lima:
Pertama masa harus,  kedua masa wajib,  ketiga masa fadhilat, keempat masa makruh dan kelima masa haram. 
"Ada pun masa harus ialah - zakat fitrah itu - dikeluarkan pada awal bulan Ramadhan.  Masa wajib bila telah masuk matahari pada akhir bulan Ramadhan.  Masa Fadhilat sebelum keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya.  Masa makruh jika dita'khirkan selepas sembahyang hari raya dengan tiada uzur - dan masa haram:  Jika dita'khirkan hingga selepas hari raya dengan tiada uzur."(1)

Syarat-syarat Wajib Mengeluarkan Zakat Fitrah: 
Syarat-syarat wajibnya:
(1) Islam.
(2) Merdeka. 
(3) Orang yang mempunyai sesuatu (makanan, harta atau wang) yang lebih daripada keperluannya dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya(2), untuk satu malam dan satu hari - hari raya itu.
Orang-orang yang wajib ditanggung nafkahnya ialah isteri (3) atau isteri-isteri, anak-anak dan juga ibu atau bapa yang miskin. (4)

Masalah Niat Semasa Membayar Zakat Fitrah: 
Menurut huraian ulama' rahimahullah: Tidak sah menunaikan zakat melainkan dengan niat.  Ini berdasarkan hadith (Bukhari) yang menerangkan bahawa segala amal adalah berdasarkan niat. 
Masa berniat ialah semasa menyerahkan zakat.  Boleh juga didahulukan (semasa mengasingkan benda zakat itu untuk diserahkan), kerana zakat boleh diwakilkan.(5)
Jelasnya orang yang mengeluarkan zakat fitrah wajib berniat, sama ada pada masa menyerahkan fitrahnya atau sebelum itu - semasa mengasingkan untuk diserahkan. Niatnya seperti berikut: "Ini, zakat fitrah yang wajib bagi diriku pada tahun ini." Kalau berfitrah dengan Wang,  hendaklah berniat seperti berikut: "Ini, wang ganti beras zakat fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku, pada tahun ini."(6)

Masalah Zakat "Harta Zahir" dan Batin":
Menurut huraian ulama' rahimahullah zakat terbahagi dua. Pertama zakat harta zahir, kedua zakat harta batin. 
Harta zahir itu ialah binatang ternak, hasil tanaman dan benda-benda logam emas dan perak yang didapati dari lombongnya. (Ketiga-tiga jenis ini zakatnya telah diterangkan satu persatu pada bahagian yang lalu).
Harta batin pula ialah emas dan perak (yang sedia ada dalam simpanan), barang-barang perniagaan dan "rikaz"(7) (Ketiga-tiganya juga telah diterangkan pada bahagian yang lalu.)
Fitrah juga - menurut mazhab Syafi'i - termasuk dalam bahagian zakat harta batin. (8)
Dalam zaman Rasulullah s.a.w., biasanya Baginda mengutuskan pegawai-pegawainya mengumpulkan zakat - meliputi zakat harta zahir dan zakat harta batin - dan membahagikannya kepada orang-orang yang berhak menerimanya, demikian juga dilakukan oleh Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina Umar r.a., dalam zaman pemerintahan masing-masing.(9)
Amalan ini berterusan dilakukan oleh Saiyidina Uthman r.a. dalam zaman pemerintahannya beberapa tahun lamanya, tetapi setelah dilihatnya jenis-jenis harta batin bertambah banyak dan akan menyusahkan rakyat Islam kalau tiap-tiap seorang itu diselidik harta batinnya, maka Saiyidina Uthman r.a., menyerahkan soal menguruskan pembahagian zakat harta batin itu kepada tuan punya masing-masing.(10)
Masalah ini dihuraikan dalam kitab "Fiqh al-Sunnah" seperti berikut:
Alim ulama' ahli fiqah sekata bahawa orang-orang yang memiliki harta,  merekalah yang menguruskan pembahagian zakat masing-masing - kalau zakat itu zakat harta batin. Ini berdasarkan hadith riwayat Baihaqi.(11)
Tetapi alim ulama' tidak pula sekata tentang mana yang afdhal, pemilik batin itu yang menguruskan pembahagian zakatnya atau mereka menyerahkannya harta kepada pihak yang berkuasa Islam untuk dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya?
Menurut "qaul" yang terpilih dalam mazhab Syafi'i bahawa yang afdhal, pengeluar zakat itu menyerahkan kepada pihak yang berkuasa (ketua Islam) kalau ketua Islam itu adil. (12)
Menurut mazhab Hanbali pula bahawa yang afdhal, pengeluar zakat itu menguruskan pembahagiannya, tetapi kalau diserahkan kepada pihak yang berkuasa maka itu adalah harus (dibolehkan).
Mengenai zakat harta zahir pula menurut mazhab Hanafi dan mazhab Maliki,  ketua Islam dan pegawai-pegawainya - yang berkuasa menuntut dan memungutnya (untuk dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya).
Mazhab Syafi'i dan mazhab Hanbali mengenai zakat harta zahir ini sama sahaja dengan zakat harta batin (seperti yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu mengenai zakat harta batin).(13)
______________________________
1. Kitab kumpulan fatwa, terbitan Jabatan Agama Terengganu (hlm. 132).
2. Iaitu orang-orang (termasuk anak yang dilahirkan) yang hidup pada masa satu saat sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan sehingga satu saat pada awal bulan Syawal - tiap-tiap tahun. (Kitab Al-Itharah, hlm. 3).
3. Termasuk jandanya yang di dalam idah talak raj'i atau ba'in yang hamil. 
4. Kitab yang sama (hlm. 3).
5. Al-Muhazzab (1:177).
6. Al-Itharah (hlm. 3).
7. Al-Muhazzab (1:175).
8. Al-Itharah (hlm. 4).
9. Fiqh Al-Sunnah (1:402).
10. Kitab yang sama (1:402).
11. 'Isnad'nya Sahih. 
12. Menurut kitab al-Muhazzab (1:175) ada tiga wajah dalam mazhab Syafi'i mengenai zakat harta batin.
Pertama: Yang afdhal, pengeluar zakat itu menguruskan pembahagiannya.
Kedua:   Yang afdhal, diserahkan kepada ketua Islam, sama ada ketua Islam itu adil atau zalim. 
Ketiga:   Yang afdhal, diserahkan kepada ketua Islam kalau ia adil,  kalau ia zalim,  maka yang afdhal pengeluar zakat menguruskan pembahagian zakatnya sendiri.
13. Fiqh al-Sunnah (1:402).
Masalah Menyerahkan Zakat Kepada Pihak Yang Berkuasa Islam Sama ada Yang Adil Atau Sebaliknya
Masalah ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
102- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ أَتَى رَجُلٌ مِنْ بَنِي تَمِيمٍ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ حَسْبِي يَا رَسُولَ اللَّهِ إِذَا أَدَّيْتُ الزَّكَاةَ إِلَى رَسُولِكَ فَقَدْ بَرِئْتُ مِنْهَا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَمْ إِذَا أَدَّيْتَهَا إِلَى رَسُولِي فَقَدْ بَرِئْتَ مِنْهَا فَلَكَ أَجْرُهَا وَإِثْمُهَا عَلَى مَنْ بَدَّلَهَا. (رواه الإمام أحمد)
102- Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Seorang dari kaum Arab Bani Tamim datang mengadap Rasulullah s.a.w. lalu meminta penjelasan,  katanya: "Ya Rasulullah,  cukupkah apabila saya membayar zakat kepada utusan tuan maka dengan yang demikian terlepaslah tanggungan saya - di sisi hukum Allah dan Rasul-Nya - mengenai zakat saya itu?"
"Ia (benar)." Jawab Rasulullah s.a.w.: "Apabila engkau membayarnya kepada utusanku maka terlepaslah tanggunganmu mengenainya di sisi hukum Allah dan Rasul-Nya; selain itu engkau pula mendapat pahalanya dan (kalau ada pemungut zakat) yang menyelewengkannya maka dialah yang menanggung dosanya."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Al-Imam Ahmad).
______________________________
1. Al-Fath al-Rabbani (9:36). Menurut al-Alamah al-Haithami: Hadith ini juga diriwayatkan oleh al-Tabrani dan perawi-perawinya ialah perawi-perawi hadith sahih.  (Kitab yang sama,  9:36).


Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
103- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّهَا سَتَكُونُ بَعْدِي أَثَرَةٌ وَأُمُورٌ تُنْكِرُونَهَا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ تَأْمُرُ مَنْ أَدْرَكَ مِنَّا ذَلِكَ قَالَ تُؤَدُّونَ الْحَقَّ الَّذِي عَلَيْكُمْ وَتَسْأَلُونَ اللَّهَ الَّذِي لَكُمْ. (رواه البخاري ومسلم)
103- Dari (Abdullah) bin Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya akan berlaku kemudian daripada zamanku perbuatan mementingkan diri dan perkara-perkara yang kamu tidak setujui." Sahabat-sahabat Baginda berkata:  Ya Rasulullah,  (jika berlaku yang demikian), apa yang kami akan lakukan?"
"Baginda bersabda: "Tunaikanlah hak (pemerintah Islam) yang menjadi tanggungan kamu, dan pohonkanlah kepada Allah (membuka hati pihak pemerintah) untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada kamu"(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)
______________________________
1. Fiqh al-Sunnah (1:403) dan Nail al-Autar (4:165). Menurut huraian Fath al-Bari (16:111): Di antara hak pemerintah yang dimaksudkan di sini ialah penyerahan zakat kepadanya (apabila zakat itu dituntut) dan sedia berkorban apabila dikerah dalam peperangan jihad (menentang pencerobohan musuh).

Dijelaskan lagi dalam hadith yang berikut:
104- عَنْ وَائِلِ بْنِ حُجْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجُلٌ سَأَلَهُ فَقَالَ أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ عَلَيْنَا أُمَرَاءُ يَمْنَعُونَا حَقَّنَا وَيَسْأَلُونَا حَقَّهُمْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا فَإِنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ. (رواه مسلم والترمذي)
104- Dari Wa'il bin Hujr r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. semasa seorang sedang bertanya. Orang itu berkata:  "Bagaimana (hukumnya) Ya Rasulullah kalaulah kami berada dalam pemerintahan ketua-ketua yang menyekat hak kami dan mereka pula menuntut haknya?"
Baginda menjawab:  "Dengarlah dan taatlah kamu (kepada ketua-ketua kamu itu), kerana sesungguhnya mereka bertanggungjawab terhadap tugas (sebagai pemerintah) yang mereka pikul dan kamu juga bertanggungjawab terhadap tugas (sebagai rakyat) yang kamu pikul."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Tugas Pemerintah Mengenai Zakat:
Zakat - meliputi zakat harta dan zakat fitrah - disyariatkan oleh Allah Taala untuk membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, terutama kaum fakir miskin dalam masyarakat Islam(2) dan pihak pemerintahlah yang lebih layak mengendalikan pemungutan dan pembahagian zakat itu dengan cara yang sah dan sempurna. 
Menurut huraian ulama', rahimahullah, wajib atas ketua Islam menghantar `amil-amilnya memungut zakat,  kerana Rasulullah s.a.w. dan khalifah-khalifah Islam, sesudah zaman baginda melakukan yang demikian, dan juga kerana terdapat dalam kalangan orang ramai - pemilik-pemilik harta yang tidak mengetahui setakat mana yang wajib dikeluarkan zakatnya dan ada pula yang bakhil dan keberatan membayar zakat. .."(3)
Di negara kita, pemungutan dan pembahagian zakat,  dikendalikan oleh pihak yang berkuasa Islam (raja-raja) melalui jabatan-jabatan Agama di negeri masing-masing.
Untuk panduan umum,  alim ulama' menjelaskan apabila pihak pemerintah melantik 'amil-'amilnya untuk memungut zakat,  maka perintahnya wajib dipatuhi(4). Kalau ada yang menyerahkan zakatnya pada pihak lain, maka zakatnya itu tidak sah. (5)
______________________________
1. Nail al-Autar (4:165).
2. Menurut huraian Hujjat al-Islam al-Imam al-Ghazali rahimahullah, bahawa zakat itu bukanlah suatu "budi" dari pihak yang berada, tetapi suatu hak yang wajib ditunaikan kerana Allah semata-mata, sebagai bantuan kepada orang-orang yang memerlukan bantuan.  (Ihya 'Ulumuddin, 1:231).
3. Al-Muhazzab (1:175).
4. Kitab Al-Itharah (dalam bahagian pendahuluan penyusunnya) terbitan Jabatan Agama Islam Selangor.
5. Kitab kumpulan fatwa (hlm. 20) terbitan Jabatan Agama Terengganu.

Kedudukan 'Amil Dalam Islam:
'Amil atau pemungut zakat yang menjalankan tugasnya dengan cara yang baik,  betul dan sempurna - diberikan penghargaan seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:
105- عَنْ رَافِعِ بْنِ خَدِيجٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْعَامِلُ عَلَى الصَّدَقَةِ بِالْحَقِّ كَالْغَازِي فِي سَبِيلِ اللَّهِ حَتَّى يَرْجِعَ إِلَى بَيْتِهِ. (رواه الترمذي)
105- Dari Rafi' bin Khadij r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "'Amil yang memungut zakat dengan cara yang benar,  samalah (pahalanya) seperti orang yang berjihad pada jalan Allah sehinggalah ia kembali ke rumahnya."(1)
(Hadith Hasan - Riwayat Tirmizi).
______________________________
1. Tuhfah al-Ahwazi (3:307).



DIPETIK DARI LINK  :

http://www.islamgrid.gov.my/hadith/detailed.php?id=14&j=3

TERIMAK KASIH ..

JAZAK ALLAH KHAYR ...


 

No comments:

LOVE ALLAH SWT ... ameenn