Wednesday, February 13, 2013

KALIMAH SHAHADAH ...

 


 
 
DIRIWAYATKAN dalam sebuah hadis, pada zaman dulu ada seorang lelaki muallaf yang sedang melakukan wukuf di Arafah, bagi menunaikan salah satu rukun haji yang dilaksanakannya.
 
Ketika berhenti sebagai memenuhi tuntutan rukun paling penting itu, lalu dia pun mengutip sebanyak tujuh biji batu seraya berniat: “Hai batu-batu, saksikanlah olehmu bahawa aku bersumpah bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.”
Namun, ditakdirkan selepas itu dia tertidur dalam keadaan batu yang dikutipnya itu tadi terletak di bawah kepalanya dan bermimpi seolah-olah tibanya hari kiamat.

 
Dalam mimpi itu, dia melihat setiap amalan, hinggalah mendapati berat timbangan dosanya itu lebih berat daripada pahala yang dikerjakan ketika di dunia.
 
 
Lalu, diperintahkan malaikat untuk berjalan menuju ke sebuah pintu yang sememangnya membawa dirinya terus ke neraka.
 
Bagaimanapun, ketika hendak melangkah masuk menerusi salah satu pintu itu, tiba-tiba datang batu-batu kecil menghalang laluannya.
 
Walaupun dicuba beberapa kali untuk memasukkan lelaki itu menerusi pintu itu, ternyata ia sia-sia kerana setiap kali itu juga muncul batu-batu kecil itu yang segera menghalang laluan pintu berkenaan.
 
Lalu malaikat yang mengiringi lelaki itu kemudian membawanya ke pintu neraka lain dan ternyata ia tetap gagal kerana setiap kali itu juga muncul batu-batu kecil yang menghalang laluan pintu itu hingga habis kesemua tujuh pintu neraka didatangi.
 
Kerana gagal dalam percubaan memasukkan lelaki itu ke dalam semua pintu neraka, malaikat yang mengiringinya kemudian membawanya menghadap Allah SWT.
 
Di situlah Allah SWT kemudian berfirman kepadanya yang bermaksud: “Wahai hambaku, aku menyaksikan batu-batu yang engkau kumpulkan di padang Arafah. Aku tidak akan mensia-siakan hakmu. Bagaimana aku akan mensia-siakan hakmu, sedangkan aku menyaksikan syahadah yang engkau ucapkan itu. Sekarang, masuklah engkau ke syurga.”
 
Lalu malaikat itu kemudian membawanya menuju sebuah pintu syurga dan ternyata tiada lagi batu-batu kecil yang menyekat laluan sebaliknya pintu syurga yang dilaluinya itu terbuka selebar-lebarnya bagi memudahkannya lalu.
 
Itulah kelebihan bagi sesiapa yang melafazkan dua kalimah syahadah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa: “Barang siapa yang kalimah akhirnya adalah ‘La Ilaha Illallah’ nescaya akan masuk syurga.”
 
Justeru itu, sama-samalah kita memperbanyakkan mengucap kalimah syahadah dengan niat memperbaharui nilai iman dan Islam dengan menyerahkan diri kepada Allah SWT serta mengikuti syariat yang dibawa Rasulullah SAW, mudah-mudahan kita mendapat Rahmat dan keredaan daripada Allah SWT.

No comments:

DOA MENYAMBUT BULAN RAMADHAN ..