Wednesday, April 10, 2013

ADAB BERZIKIR ...





Abu Omar, Idris bin Sulaiman


Di antara banyak bentuk ibadah yang telah disyariatkan dalam Islam adalah ibadah berzikir mengingati Allah dengan menyebut namaNya sebagaimana dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

يَآأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اذْكُرُوا اللهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

“Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Alah sebanyak-banyaknya” (Al-Ahzaab, 41).

Dalam masa yang sama, harus diingat bahawa urusan Agama atau ibadah adalah tauqifiyyah yang mana ia terikat dengan petunjuk dan garis panduan Syarak yang perlu dipatuhi termasuklah dalam urusan berzikir.


ADAB-ADAB BERZIKIR

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِفْيَةً وَدُونَ الْجَهْرِمِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَاْلأَصَالِ وَلاَتَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ

“Dan berzikirlah kepada Tuhanmu pada dirimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dengan tidak menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong di kalangan orang-orang yang lalai” (Al-A’raaf, 205).


Dalam ayat di atas, di samping mengandungi perintah supaya berzikir kepada Allah serta larangan tergolong di kalangan orang lalai yang tidak mengingati Allah, ia telah menghimpunkan beberapa adab yang perlu diamalkan ketika berzikir (Rujukan: Mahasin Al-Takwil oleh Al-Qasimi).

 
Antara adab-adab ini ialah:

  1. Ucapan zikir hendaklah dengan suara perlahan berbisik. Itu yang dimaksudkan dengan فِي نَفْسِكَ  (pada dirimu) yang bererti jangan sampai didengar oleh orang lain. Ini kerana cara ini lebih hampir kepada ikhlas, lebih dekat dimakbulkan dan jauh daripada riyak.
  2. Hendaklah dengan merendah diri, patuh dan taat serta mengakui kelemahan diri agar dapat merealisasikan perhambaan diri kepada Allah serta mengiktiraf kekuasan dan keagonganNya.
  3. Zikir hendaklah dilakukan dengan perasaan takut atas kekurangan diri, khuatir ibadah yang dilakukan akan tertolak dan tidak diterima.
  4. Hendaklah suara tidak dikeraskan atau dikuatkan supaya dapat bertafakur serta menumpukan perhatian kepada zikir yang dibaca. Berkata Ibnu Kathir, “FirmanNya, وَدُونَ الجَهْر مِنَ القَوْل (Dengan tidak menyaringkan suara); beginilah zikir sewajarnya dilakukan, bukan dengan cara memanggil, dengan suara kuat mahupun keras” (Tafsir Ibnu Kathir, 3/544).
  5. Hendaklah dengan ucapan lisan dan tidak sekadar dengan bacaan hati. Sebagaimana yang dapat difahami daripada firmanNya وَدُونَ الجَهْر (Dengan tidak nyaring). Maknanya dengan bersuara tetapi tidak sampai didengar oleh orang lain. Hasilnya, zikir yang diucap dengan lisan akan dapat dihayati dengan hati.
 
BERZIKIR HENDAKLAH DILAKUKAN SECARA PERLAHAN

Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-A’raaf, ayat 205:

“Dan berzikirlah serta ingatlah akan Tuhanmu pada dirimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan dengan tidak menyaringkan suara.”


Para ulama menyimpulkan daripada ayat di atas bahawa berzikir secara prinsipnya hendaklah dilakukan secara bersendirian dan secara sir (سِرْ) iaitu perlahan tanpa menguatkan suara mahupun mengeraskannya.


Para ulama termasuk Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah r.h. dalam Majmuk Fatawanya telah menyebutkan tentang hikmah mengapa berzikir perlu dilakukan secara perlahan dan antara lainnya adalah:

  1. Ia lebih hampir kepada iman; kerana pelakunya mengetahui bahawa Allah Maha Mendengar apa yang perlahan dan yang disembunyikan.
  2. Ia lebih sopan dan beradab. Sekiranya manusia tidak mengangkat suara ketika mengadap raja atau ketua negara, sewajarnya Allah lebih layak untuk dihormati dan diagongkan.
  3. Ia lebih kepada khusyuk dan tawaduk yang menjadi asas penting dalam berzikir bahkan ia menjadi matlamat utamanya. Ini kerana zikir orang yang khusyuk dan tawaduk adalah zikir yang datang daripada isi hati dalam keadaan tunduk dan berharap.
  4. Ia lebih kepada ikhlas dan jauh daripada sifat riyak menunjuk-nunjuk amalan ibadah yang dilakukan.
  5. Ia menunjukkan betapa hampirnya hamba itu dengan Allah. Zikirnya bukan datang daripada orang yang menyeru dan memanggil Tuhan yang jauh. Sebaliknya ia datang daripada seorang hamba yang dapat merasakan betapa hampir Tuhannya di sisinya dengan pandangan dan penglihatanNya. Sebab itulah dia  berzikir secara perlahan dan rahsia.
  6. Ia akan dapat dilakukan secara berterusan kerana lidah tidak akan jemu dan badan tidak akan merasa penat.
  7. Orang yang berzikir secara perlahan akan terselamat daripada gangguan dan halangan kerana dia tidak akan mengganggu sesiapa, dan orang lain juga tidak akan terganggu dengannya. Akhirnya tidak ada sesiapa yang menyedari zikirnya kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala.





 
 

No comments:

PERIA KATAK ..

Ramai yang tahu Peria katak ni bagus.. So, apa sebenarnya yg ada dalam Peria Katak & apa fungsinya pada kesihatan kita? ~ Sangat rendah ...