Tuesday, August 13, 2013

CONTROL LE MARAH TU SIKIT .. SABAR ADA GANJARANNYA ..

 
 
Janganlah marah, nescaya kamu akan masuk ke dalam syurga.
 
 
عَن اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلاً قَالَ لِلنَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِيْ, قَالَ: لاَ تَغْضَبْ . فَرَدَّدَ مِرَارَا, قَالَ: لاَ تَغْضَبْ.( رواه البخاري 
 
 
 
Daripada  Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawa ada seorang lelaki ( Abu Darda ) telah berkata kepada Nabi  Sallallahu 'alaihi wasallam: “ Berikanlah aku nasihat,”.
 
Baginda bersabda : “Jangan marah”.
 
Maka orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam menjawab : “ Jangan marah”.

( Hadith riwayat al-Bukhari)
 
 
Dalam meniti kehidupan seharian, semua manusia tidak dapat lari dari berhadapan dengan masalah yang ada kalanya menguji tahap keimanan dan kesabaran seseorang. 
 
Dalam hadith di atas, Imam At-Thabari meriwayatkan darinya, aku berkata (Abu Darda) : “Ya Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku satu amalan yang akan memasukkanku ke dalam syurga?’.
 
Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam menjawab:
 
“Janganlah marah, nescaya kamu akan masuk ke dalam syurga”.
 
Lalu aku mengulanginya soalan yang sama  beberapa kali dan semua jawapannya adalah:
 
 “Jangan marah “.
 
 
Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam adalah role model yang terbaik apabila memperkatakan sifat sabar yang mulia ini.
 
Baginda berpesan kepada umatnya supaya bersabar apabila kita diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai cubaan, dugaan dan masalah yang membuktikan bahawa Allah SWT sayang kepada hambaNya.
 
Manusia apabila ditimpa musibah dan jatuh sakit maka pada ketika itu baru dia akan ingat pada Allah SWT, merintih memohon keampunan dan berhajatkan pertolongan Allah SWT.
 
 
Selain itu, Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam mendidik dan membimbing manusia supaya meninggalkan sifat marah kerana itu adalah tabiat syaitan.
 
 
 
Para hukama’ berkata bahawa sesungguhnya sifat marah itu adalah punca kepada penyesalan yang tidak berguna kerana marah membawa kepada banyak keburukan kepada semua.
        

Menurut seorang ulama, Ibn Qayyim Al-Jauziyyah mengatakan bahawa sifat sabar itu boleh dibahagikan kepada tiga jenis pembahagian  sabar.
 
Jenis sabar yang pertama ialah sabar ketika melaksanakan perintah Allah SWT.
 
Jenis yang kedua ialah sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan jenis yang ketiga ialah sabar tatkala ditimpa ujian ( musibah ).
 
Kesemua jenis sabar ini mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT kerana ganjarannya adalah syurga sebaik-baik tempat buat orang yang beriman dan orang yang beramal soleh.
 
 
Bagi mereka yang masih tidak dapat untuk menahan sifat marah, di sini ada beberapa panduan yang digariskan oleh para ulama seperti membaca ta’wudz (“A’udzu billahi minas-syaitannir rajim”), kemudian ingat kepada manfaat menahan sifat marah, bersegera pergi mengambil wuduk kerana marah itu sifat syaitan yang dijadikan dari api, apabila berwuduk insya Allah hati akan beransur menjadi sejuk.
 
 
Perlu diingatkan di sini, apabila seseorang itu marah dan bergaduh dengan saudaranya sehingga tidak mahu bertegur sapa selama lebih dari 3 hari maka dia akan berdosa.
 
 
Sesungguhnya sifat mazmumah ini lebih banyak membawa kemudharatan dan keburukan berbanding kebaikan yang diperolehi.
 
 
Tulisan oleh:
Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki
Pegawai Penasihat Agama UiTM Sarawak
 
 
 
 
TERIMAKASIH ..
 
JAZAK ALLAHU KHAYRAN ..
 
 

No comments: