Saturday, September 28, 2013

10 HARI DALAM BULAN ZUL HIJJAH ...

 
 
 
 
745. Soalan : Bolehkan ustaz terangkan apakah kelebihan bulan Zulhijjah di sisi Islam?
 
Jawapan :
 
Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.
 
Disebutkan oleh Nabi SAW maksudnya  : "Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Hadis Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).
 
Allah SWT pula berfirman :
 
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
 
Maksudnya : "Demi Fajar dan hari-hari (malam-malam) yang sepuluh" (Surah al-Fajr  ayat 1).
 
Majoriti ulama menyatakan malam sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).
 
Perlukan difahami di dalam lafaz bahasa arab, malam juga membawa maksud siang dalam konteks tertentu, demikian juga sebaliknya. Malah Imam Ibn Abbas sendiri menafsirkan perkataan malam itu dengan katanya 
 
وعن ابن عباس أيضا أنه النهار كله ، وعبر عنه بالفجر ; لأنه أوله
 
Ertinya: dari Ibn Abbas juga beliau berkata : itu termasuk siang seluruhnya, dan itu jelas dari perkataan fajar yang dimulakan, dan siang terlebih dahulu. (Tafsir Al-Qurtubi)
 
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadis lain maksudnya :  "Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Hari Riwayat Al-Bukhari).
 
Amalan-amalan Utama :
 
Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-
 
1. Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
 
Ia bersumber dari hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Surah al-Hajj  ayat  28).
 
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama juga.
 
2. Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
 
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah : "Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Hari Riwayat Muslim).
 
Hadis Nabi SAW :
 
فقد روي عن أبي قتادة الأنصاري – رضي الله عنه – أن رسول الله – صلى الله عليه وسلم – سئل عن صوم يوم عرفة فقال: يُكفِّر السنة الماضية والباقية[رواه مسلم؛ الحديث رقم 2747، ص 477]
 
Telah diriwayatkan daripada Abi Qatadah al-Ansari r.a. sesungguhnya Rasulullah SAW  telah ditanya tentang Puasa Hari ‘Arafah, lalu Baginda bersabda: “Ia menghapuskan (dosa) tahun yang lalu dan tahun yang selepasnya.” (Hadis Riwayat Muslim; hadist no. 2747, muka surat 47)
 
3. Melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadis yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.
 
4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.
 
Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.
 
5. Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali k.wj. menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.
 
6. Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :
 
وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب
 
 
Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketakwaan hati" (Surah al-Hajj ayat 32)
 
Sebuah hadis menyebut  :
 
ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم
 
Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" (Hadis Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )
 
 
 
TERIMAKASIH USTAZ BASHER ..
 
 
 
 
 
 
        
. Posted in Soal Fiqh
   
SOALAN:
 
 
Apakah kelebihan puasa pada hari-hari awal 10 Zulhijjah? Dan apakah amalan lain yang digalakkan pada hari-hari tersebut?
Zinnirah 
Kulai, Johor.
 
 
shahidah1
 Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad
 
JAWAPAN:
 
 
Banyak di sana hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan 10 awal zulhijjah dan puasa pada hari2 tersebut, antaranya,

1. Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yg bermaksud :
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?”. Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. 





2. Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar RA bahawa Baginda SAW bersabda maksudnya : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.
 
3. Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir RA bahawa Baginda SAW bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”.
 
JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA. 

Pertama

: Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi SAW : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”. 




Kedua : Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah. 



Dari Abu Sa’id al Khudri RA berkata : ‘Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (Muttafaq ‘alaih).
Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. 


Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar RA yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.



Lazimnya kita memahami zikir-zikir ini disebut pada hari-hari raya sahaja, tetapi dalam hadis ini menunjukkan kita disarankan untuk membanyakkannya pada 10 hari pertama.
Imam Al Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah RA kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu,
“[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”.
Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik. 


Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (Muttafaq ‘alaihi). 





 

Kelima : Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pahalanya pada hari-hari tersebut.




Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid). 


Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang raya mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah. 





Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘AS setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih. 





Kelapan : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah RA bahawa Nabi SAW bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”,



Dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya. 


Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.



 
Kesimpulan:
Kita disunatkan berpuasa selama 9 hari dari 1 hingga 9 Zulhijjah, jika tidak mampu puasalah berapa hari yg mampu, atau paling kurang pada hari ke 9.
 
 
Jika tidak mampu melakukan semua, janganlah tinggalkan semua.
 
 
 
Begitu juga amalan-amalan lain yang disebut di atas.
 
 
Wallahu ‘Aklam.
 

No comments: