Wednesday, March 12, 2014

ZIKIR ..WITH EVERY HEARTBEAT .. " Laa-ilaaha-illallah "

 
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

"Dari Jabir bin Abdillah ia berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
 
Zikir yang paling mulia ialah Lailahaillallah dan doa yang paling baik ialah Alhamdulillah".(Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).
 
 
Zikir juga boleh menyebabkan pengamalan mendapat keampunan dari Allah Subhanahu Wataala sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Ahzab ayat 35 yang tafsirnya :
"Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar".

Di samping itu, zikir Lailahaillallah mempunyai banyak fadhilat dan kelebihan, antaranya ialah :-

Pertama : Pengamal akan mendapat syafaat dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas".(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Kedua : Mendapat jaminan masuk Syurga.

Dari Zaid bin Arqam Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
"Barangsiapa yang mengucapkan Lailahaillallah dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam Syurga. Lalu ditanya kepada Baginda : Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram".(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).

Ketiga : Tidak akan dimasukkan ke dalam api Neraka.

Dari Umar Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : "Aku mengetahui satu kalimah yang tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah ke atasnya Neraka Jahanam. Kalimah itu Lailahaillallah".(Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim).

Keempat : Amalan zikir tersebut mendapat timbangan yang lebih berat dari amalan-amalan yang lain.

Dari Abi Abas Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
"Demi yang diriku di tangan-Nya, jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada dibawahnya diletakkan di sebelah dacing dan kalimah Lailahaillallah di sebelah yang lain, maka dacing kalimah (Lailahaillallah) itulah yang lebih berat".(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).

Kelima : Merupakan anak kunci Syurga.

Muaaz bin Jabal Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : Anak-anak kunci Syurga ialah mengakui kalimah Lailahaillallah (Hadis riwayat Al-Imam Ahmad).

Sesungguhnya orang-orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah Subhanahu Wataala yang ingin memperolehi kesempurnaan imannya tidak akan mempermudah dan melengah-lengahkan untuk berzikir, tiada mahu lalai dan dilalaikan oleh sesuatu dari berzikir kerana lalai dan lupa Allah Subhanahu Wataala itu adalah lantaran jiwa yang telah dipengaruhi oleh syaitan. Oleh itu pelajarilah zikir dan amalkanlah, mudah-mudahan kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir serta berjaya hidup di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ash-Shaaffaat ayat 143-144 yang tafsirnya :

"Maka kalaulah ia (Nabi Yunus) bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah dengan zikir dan tasbih, tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia di bangkitkan keluar dari kubur".
 
 
 
 
terimakasih
 
jazak ALLAHU khayran
 
 
 
 
 
 

No comments: