Thursday, February 28, 2013

JALAN KE JANNAH ...

 
 
 
“Daripada Mu’adz bin Jabal RA, ia berkata,
 
“Dalam suatu perjalanan, pernah aku bersama Rasululah SAW.
 
Pada suatu hari saat sedang berjalan-jalan, aku mendekati Baginda, lalu berkata,
 
Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepadaku akan suatu amalan yang dapat menyebabkan aku masuk syurga dan jauh dari neraka.”
 
Beliau menjawab, “Engkau telah menanyakan suatu perkara yang amat besar namun sebenarnya ringan bagi orang yang dimudahkan oleh Allah; hendaklah kamu menyembah Allah dan tidak berbuat syirik terhadap-Nya dengan sesuatu apapun, mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji….
 
 
Dalam hadith yang lain disebut tentang memperbanyakkan sujud iaitu sembahyang, dengan melakukan sembahyang-sembahyang sunat selain yang fardhu.
 
Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Rabi’ah, mintalah kepadaku”. Aku berkata: “Wahai Rasulullah biar aku fikirkan sebentar. Lalu aku mengingat-ingat dunia serta kefanaannya sehingga aku berkata: “Aku tidak akan meminta kecuali akhirat.
 
Kemudian aku mendatangi  
Baginda SAW dan berkata:
 
“Aku meminta supaya aku boleh menemanimu di syurga.
 
Rasulullah SAW bersabda:  
“Wahai Rabi’ah adakah yang selain dari itu? Aku menjawab: Itu saja.  
Maka Rasulullah SAW bersabda lagi:
 
Berjanjilah untuk kamu mengendalikan hawa nafsumu dan banyakkan sujud (nescaya kamu akan menemaniku di syurga).” (Muslim)
 
Selain itu menuntut ilmu juga memudahkan perjalanan ke syurga:
Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” [Riwayat Muslim]

 

Wednesday, February 27, 2013

Airmata taubat sehelai bulu mata ...





Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T.. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut.


  • Diceritakan di Hari Pembalasan kelak, ada seorang hamba Allah sedang diadili. Ia dituduh bersalah kerana sia-siakan umurnya di dunia untuk berbuat maksiat. Tetapi ia berkeras membantah. "Tidak! Demi langit dan bumi sungguh tidak benar. Saya tidak melakukan semua itu." "Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul-betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa," jawab malaikat. Orang itu menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu ke segenap penjuru. Tetapi anehnya, ia tidak menjumpai seorang saksi pun yang sedang berdiri.

Di situ hanya ada dia sendirian. Makanya ia pun menyanggah, "Manakah saksi-saksi yang kau maksudkan? Di sini tidak ada siapa kecuali aku dan suaramu." "Inilah saksi-saksi itu", ujar malaikat. Tiba-tiba mata hamba Allah tersebut bicara, "Saya yang memandangi." Disusuli oleh telinga, "Saya yang mendengarkan." Hidung pun tidak ketinggalan, "Saya yang mencium." Bibir mengaku, "Saya yang merayu." Lidah menambah, "Saya yang mengisap." Tangan meneruskan, "Saya yang meraba dan meramas." Kaki menyusul, "Saya yang diguna untuk berlari ketika diketahui orang akan maksiat tersebut."

"Nah! Kalau ku biarkan, seluruh anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu itu.", ucap malaikat. Orang tersebut tidak dapat membuka sanggahannya lagi. Ia putus asa dan amat berduka, sebab sebentar lagi bakal dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam. Padahal, rasa-rasanya ia telah terbebas dari tuduhan dosa itu. Tatkala ia sedang dilanda kesedihan itu, tiba-tiba terdengar suara yang amat lembut dari selembar bulu matanya: "Saya pun ingin juga mengangkat sumpah sebagai saksi."

"Silakan", kata malaikat. "Terus terang saja, menjelang ajalnya, pada suatu tengah malam yang lengang, aku pernah dibasahinya dengan air mata ketika ia sedang menangis menyesali perbuatan buruknya. Bukankah Nabi pernah berjanji, bahawa apabila ada seorang hamba kemudian bertaubat, walaupun selembar bulu matanya saja yang terbasahi air matanya, namun sudah diharamkan dirinya dari ancaman api neraka? Maka saya, selembar bulu matanya, berani tampil sebagai saksi bahawa ia telah melakukan taubat sampai membasahi saya dengan air mata penyesalan."

Dengan kesaksian selembar bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan dihantarkan ke syurga. Sampai terdengar suara bergema kepada para penghuni syurga: "Lihatlah, Hamba Allah ini masuk syurga kerana pertolongan sehelai bulu mata."
 
 
 
 

TASAWWUF ...

 
 

  Pengertian Ilmu Tasawwuf :

1. Ilmu tasauf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan seseorang mukmin di dalam membersihkan hati dengan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat yang mulia dan menghindari atau menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah iaitu yang keji dan tercela .
 
2. Ilmu tasawwuf bertujuan mendidik nafsu dan akal supaya sentiasa berada di dalam landasan dan peraturan hukum syariat Islam yang sebenar sehingga mencapai taraf nafsu mutmainnah .

  3. Syarat-syarat untuk mencapai taraf nafsu mutmainah:

  a) Banyak bersabar .

  b) Banyak menderita yang di alami oleh jiwa .
 

  4. Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat Mahmudah / terpuji di dalam kitab Arbain Fi Usuluddin iaitu :

  1) Taubat .
2) Khauf ( Takut )
3) Zuhud
4) Sabar.
5) Syukur.
6) Ikhlas.
7) Tawakkal.
8) Mahabbah ( Kasih Sayang )
9) Redha.
10) Zikrul Maut ( Mengingati Mati )
 

  5. Dan Imam Al-Ghazali juga telah menggariskan sepuluh sifat Mazmumah / tercela / sifat keji di dalam kitab tersebut iaitu :

  1) Banyak Makan
2) Banyak bercakap.
3) Marah.
4) Hasad.
5) Bakhil.
6) Cintakan kemegahan.
7) Cintakan dunia .
8) Bangga Diri.
9) Ujub ( Hairan Diri ).
10) Riya' ( Menunjuk-nunjuk ).


Bab 2: Khauf

  1. Khauf bererti takut akan Allah s.w.t., iaitu rasa gementar dan rasa gerun akan kekuatan dan kebesaran Allah s.w.t. serta takutkan kemurkaanNya dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

  2. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan kepada Akulah ( Allah ) sahaja hendaklah kamu merasa gerun dan takut bukan kepada sesuatu yang lain".
( Surah Al-Baqarah - Ayat 40 )

  3. Seseorang itu tidak akan merasai takut kepada Allah s.w.t. jika tidak mengenalNya. Mengenal Allah s.w.t. ialah dengan mengetahui akan sifat-sifat ketuhanan dan sifat -sifat kesempurnaan bagi zatNya.

  4. Seseorang itu juga hendaklah mengetahui segala perkara yang disuruh dan segala perkara yang ditegah oleh agama.

  5. Dengan mengenal Allah s.w.t. dan mengetahui segala perintah dan laranganNya, maka seseorang itu akan dapat merasai takut kepada Allah s.w.t.

  6. Rasa takut dan gerun kepada Allah s.w.t. akan menghindarkan seseorang itu daripada melakukan perkara yang ditegah oleh Allah s.w.t. dan seterusnya patuh dan tekun mengerjakan perkara yang disuruhnya dengan hati yang khusyuk dan ikhlas.



Bab 3 : Sifat Redha

  1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

  2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

  3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :
 
  • Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
  • Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.
 
 
Redha Menerima hukum Allah s.w.t. : 

  Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa
terpaksa atau dipaksa.

  Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.
 

  Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

  Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
 
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,
Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 ) 

  Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha.
Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi
dengan lapang dada .

  Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t.
Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

  Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ".
( Surah Muhammad : Ayat 26 )

  Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

  Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ).
 
Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

  Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :

" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

  Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :

" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".
Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

 
" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat !
" Kerana sesungguhnya perkataan :
andaikata.. itu memberi peluang pada syaitan " .
(Riwayat Muslim)

  Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada
dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta.
Dialah Yang Maha Bijaksana atas
segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan
diri sendiri.

  Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
 
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )
 
 
Bab 4 : Ikhlas
 
1. Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.

  2. Firman Allah s.w.t. di dalam
Al-Quran yang bermaksud :

“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )

  3. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t.

  4. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi.

  5. Dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya.


( Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin )
 
 
Bab 5 : Taubat

  1. Iaitu kembali daripada keburukan kepada kebaikan dengan beberapa syarat yang tertentu.
2. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
” Dan mohonlah ampun kepada Allah , sesungguhnya ia Maha
Pengampun lagi Maha Mengasihani ”.
( Surah Al – Muzammil - Ayat 20 )
3. Syarat-syarat taubat adalah seperti berikut :
  • Meninggalkan maksiat atau perkara dosa tersebut.
  • Menyesal atas maksiat atau dosa yang telah dilakukan.
  • Bercita-cita tidak akan mengulanginya lagi.
  • Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizalimi.
  • Mengerjakan perkara-perkara fardhu yang telah luput.
4. Setiap manusia tidak dapat mengelakkan dirinya daripada tersalah dan terlupa, melainkan manusia yang Ma’asum ( terpelihara daripada dosa ) seperti rasul-rasul dan nabi-nabi.
5. Seseorang itu hendaklah bersungguh-sungguh memelihara diri daripada dosa iaitu dengan memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.
6. Beberapa faedah dan hikmah taubat iaitu:
  • Menghidupkan jiwa yang resah kerana dosa.
  • Mendekatkan diri kepada Allah S.W.T .
  • Meningkatkan ketaqwaan diri.
  • Membenteras tipu-daya syaitan yang selama ini memerangkap manusia
    dengan berbuat dosa dan maksiat.
  • Memperolehi kemuliaan dan anugerah Allah S.W.T. dalam hidup
  • di dunia dan akhirat.



Bab 6 : Zuhud

  1. Ertinya meninggalkan dunia melainkan kadar yang patut daripadanya.
2. Zuhud yang sempurna ialah meninggalkan perkara lain selain Allah S.W.T.
3. Dunia ialah tiap-tiap perkara yang tidak dituntut oleh syarak dan ianya sebagai tempat bercucuk-tanam ( berbuat kebaikan dan amalan soleh ) untuk akhirat yang kekal abadi selama-lamanya.
4. Setiap manusia berkehendak kepada beberapa perkara bagi meneruskan hidup yang mana manusia berkehendak kepada makanan , pakaian , tempat tinggal dan lain-lain lagi.
5. Oleh yang demikian, sifat zuhud itu adalah mencari keperluan hidup sekadar yang boleh membantu ia untuk beribadah kepada
Allah S.W.T.
  ( zuhud orang awam ).

 
 
Bab 7 : Sabar
 
  • Iaitu menahan diri daripada keluh kesah pada sesuatu yang tidak disukai.
  • Sifat sabar perlu ketika menghadapi tiga perkara berikut:
  •  
1. Menahan diri daripada keluh kesah dan menahan diri daripada mengadu kepada yang lain daripada Allah subhanahu wata‘ala ketika berlaku sesuatu bala atau bencana.
2. Menahan diri dalam mengerjakan segala perintah Allah.
3. Menahan diri dalam meninggalkan segala larangan Allah.
  • Sifat sabar itu dipuji pada syara‘ kerana seseorang yang bersifat sabar menunjukkan ia beriman dengan sempurna kepada Allah, dan menunjukkan ia taat dan menjunjung segala perintah agama.
  • Orang yang beriman kepada Allah mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas drinya adalah kehendak Allah yang tidak dapat dielak lagi. Begitulah juga orang yang taat, tidak akan merasa susah dalam mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.
  •  
 
Bab 8 : Syukur
 
  • Iaitu mengaku dan memuji Allah atas nikmat yang diberi dan menggunakan segala nikmat itu untuk berbuat taat kepada Allah subhanahu wata‘ala.
  • Tiap-tiap nikmat yang diberi oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada makhlukNya adalah dengan limpah kurniaNya semata-mata, seperti nikmat kesihatan, kekayaan, kepandaian dan sebagainya. Oleh yang demikian, bersyukur dan berterima kasih atas nikmat-nikmat tersebut merupakan suatu kewajipan kepada
  • ]Allah subhanahu wata‘ala.
  •  
  • Setiap nikmat juga hendaklah disyukuri kerana orang yang tidak berterima kasih adalah orang yang tidak mengenang budi. Oleh itu, hendaklah digunakan nikmat-nikmat Allah itu untuk menambahkan ibadah kepada Allah dan sangatlah keji dan hina menggunakan nikmat-nikmat itu untuk menderhakai Tuhan yang memberi nikmat.
 
Bab 9 : Tawakkal
 
  • Iaitu menetapkan hati dan berserah kepada Allah pada segala perkara yang berlaku serta jazam (putus) pada i`tiqad bahawa Allah subhanahu wata‘ala yang mengadakan dan memerintahkan
  • tiap-tiap sesuatu.
 
  • Berserah kepada Allah pada segala perkara itu hendaklah disertakan dengan ikhtiar dan usaha kerana Allah menjadikan sesuatu mengikut sebab-sebabnya, seperti dijadikan pandai kerana belajar, dijadikan kaya kerana rajin berusaha atau berjimat cermat dan sebagainya.
Bab 10 : Mahabbah
  • Iaitu kasihkan Allah subhanahu wata‘ala dengan mengingatiNya pada setiap masa dan keadaan.
  • Kasihkan Allah ialah dengan segera melakukan segala perintahNya dan berusaha mendampingkan diri kepada Allah dengan ibadah-ibadah sunat dan bersungguh-sungguh menghindari maksiat serta perkara-perkara yang membawa kemarahanNya.
 
Bab 11 : Zikrulmawt
  • Iaitu sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik.
  • Oleh kerana seseorang itu akan mati, maka hendaklah ia bersedia dengan amalan-amalan yang baik dan hendaklah ia memenuhkan tiap-tiap saat daripada umurnya itu dengan perkara yang berfaedah bagi akhiratnya kerana tiap-tiap perkara yang telah lalu tidak akan kembali lagi.
SIFAT MAZMUMAH
1. Syarrut ta‘am (banyak makan)
  • Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lali daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.
2. Syarrul kalam (banyak bercakap)
  • Iaitu banyak berkata-kata atau banyak bercakap.
  • Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.
3. Ghadhab (pemarah)
  • Ia bererti sifat pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah daripada kejahatan.
  • Sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknya.
  • Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar.
4. Hasad (dengki)
  • Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
  • Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
  • Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.
5. Bakhil (kedekut)
  • Iaitu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama.
  • Nikmat yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wata‘ala.
  • Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.
6. Hubbul jah (kasihkan kemegahan)
  • Iaitu kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat.
  • Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah.
  • Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.
7. Hubbud dunya (kasihkan dunia)
  • Ia bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.
  • Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.
  • Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah.
  • Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah suatu kesalahan.
8. Takabbur (sombong)
  • Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.
  • Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat.
  • Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.
9. ‘Ujub (bangga diri)
  • Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
  • Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
  • Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.
10. Riya’ (menunjuk-nunjuk)
  • Iaitu memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain.
  • Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah semata-mata.
  • Orang yang riya’ adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia.
 
 
dipetik dari sumber :
 
 
TERIMAKASIH ...
 
JAZAK ALLAH KHAYR ..
 
 

HADITH TTG ZAKAT ...

 

IBADAT ZAKAT

Firman Allah Taala :
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى(14)وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى(15)
"Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh); dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyu'). "(1)
Zakat fitrah ialah: "Zakat badan yang diwajibkan kerana tamat bulan Ramadhan dan dikeluarkan mengikut peraturannya. Benda yang dijadikan fitrah ialah makanan utama sesebuah negeri seperti beras di Malaysia. 
Kadarnya ialah satu gantang Baghdad - bersamaan 3 cupak sukatan Malaysia atau 3 kati 12 tahil (dua kilo 250 gram)." (2)
______________________________
1. Ayat 14 dan 15, Surah al-A'la.
Menurut sebuah hadith riwayat Ibn Khuzaimah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah ditanya mengenai ayat ini, lalu Baginda menerangkan.  Bahawa ayat-ayat itu diturunkan mengenai "zakat fitrah". (Al-Taj al-Jami' lil Usul 2:24). Menurut satu riwayat yang lain dari Saiyidina Ali r.a., bahawa maksud: "Membersihkan diri" yang tersebut dalam ayat ini ialah dengan mengeluarkan zakat fitrah dan maksud: "Menyebut nama Tuhan serta mengerjakan sembahyang" ialah mengucap takbir pada Hari Raya dan mengerjakan sembahyang Hari Raya.  (Tafsir al-Alusi, 30:10).
2. (Ibadat Zakat), terbitan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Dalil wajibnya diterangkan dalam hadith yang berikut:
100- عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ. (رواه البخاري ومسلم)
100- Dari (Abdullah) Ibn Umar r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah menentukan wajibnya zakat fitrah,  satu gantang dari buah tamar (kurma) atau satu gantang dari sya'ir (sejenis gandum), atas tiap-tiap seorang hamba abdi atau merdeka,  lelaki atau perempuan,  kanak-kanak (1) atau orang dewasa dari kalangan umat Islam .." (2)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadith ini selain daripada menjadi dalil tentang wajibnya "zakat fitrah" atas tiap-tiap seorang Islam, lelaki dan perempuan,  sama ada ia orang dewasa atau kanak-kanak,  menerangkan juga dua perkara lagi:
Pertama: Benda yang dijadikan zakat fitrah ialah makanan utama penduduk sesebuah negeri. Misalnya kalau gandum;  gandumlah dan kalau beras;  beraslah - zakatnya.
Kedua: Kadarnya ialah satu "صاع" (satu gantang menurut sukatan yang digunakan di Madinah dalam zaman nabi), bersamaan dengan 3 cupak sukatan Malaysia atau 3 kati 12 tahil.  (Dua kilogram 250 gram).

Masalah Membayar Zakat Fitrah Dengan Wang: 
Berdasarkan hadith yang lalu, zakat fitrah wajib dikeluarkan dari jenis makanan utama penduduk sesebuah negeri dan ini menjadi pegangan dalam mazhab Syafi'i (kecuali adanya darurat atau diperintahkan oleh pihak yang berkuasa, maka diharuskan membayarnya dengan wang sebagai ganti makanan - beras), seperti yang sedang diamalkan oleh Jabatan-Jabatan Agama Islam di Malaysia,  kerana memudahkan urusan pemungutan zakat fitrah dan pembahagiannya.
Masalah ini dihuraikan dalam kitab "Al-Syarah" seperti berikut:
Berfitrah dengan wang: 
(a) Membayar fitrah dengan wang adalah tidak sah mengikut mazhab Syafi'i jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan: "Wang ini untuk fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku". Tetapi harus digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: "Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku - pada tahun ini."
(b) Berfitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) adalah harus dalam mazhab Syafi'i tetapi lebih afdhal dengan makanan. Di dalam mazhab Hanafi pula lebih afdhal dengan harga daripada makanan.
Dalam mazhab kita Syafi'i yang mengharuskan ialah:
(1) Kerana darurat. 
(2) Kerana diperintahkan oleh raja (pemerintah).(3)
(c) Pemerintah menghukumkan berfitrah dengan wang itu kerana beberapa sebab yang bertujuan baik,  di antaranya:
(1) Asnaf yang lapan terutama fakir dan miskin lebih suka menerima wang daripada beras. 
(2) Menyimpan wang lebih selamat,  sedang beras selain daripada menyusahkan pihak pemerintah,  pejabat agama dan memerlukan upah mengangkutnya - akan rosak jika disimpan lama."(4)
______________________________
1. Zakat fitrah diwajibkan atas kanak-kanak dan dikeluarkan dari hartanya kalau ia mempunyai harta,  kalau tidak ada harta maka zakat fitrahnya itu diwajibkan atas orang yang menanggung nafkahnya. (Al-Taj al-Jami' liI Usul,  2:24).
2. Fath al-Bari, (4:111) dan Sahih Muslim- bi Syarh al-Nawawi (7:61).
3. Menurut kitab Al-Itharah (hlm. 5), bahawa keterangan mazhab Syafi'i yang tersebut ada dinyatakan dalam kitab (Al-Majmu') Syarah al-Muhazzab (5:431) dan keterangan mengenai mazhab Hanafi yang mengatakan: Tiap-tiap benda yang harus disedekahkan maka haruslah dikeluarkan menjadi bayaran ganti zakat - ada disebutkan dalam kitab Al-Majmu' (5:429).
Dalam kitab Al-Itharal juga (hlm. 5) ada menyebutkan keterangan kitab Al-Majmu' (5:429) bahawa dalil pihak yang mengharuskan zakat fitrah dengan harganya ialah hadith yang disebutkan oleh Imam Bukhari, rahimahullah dengan tegas sebagai ulasan, bahawa Saiyidina Muaz r.a., semasa diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. ke negeri Yaman sebagai pemungut zakat,  ia telah meminta mereka membayar zakat dengan kain keluaran negeri itu sebagai ganti gandum,  (kerana cara yang demikian katanya, bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar-pembayar zakat bahkan orang-orang miskin yang berhak menerima zakat di Madinah juga memerlukan pakaian).
4.
'Al-Itharah' (Kitab zakat) terbitan Jabatan Agama Islam,  Selangor.

Tujuan Zakat Fitrah Disyariatkan: 
Zakat fitrah disyariatkan dalam bulan Sya'ban, tahun hijriyah yang kedua(1) dan tujuan atau hikmatnya diterangkan dalam hadith yang berikut:
101- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ. (رواه أبو داود)
101- Dari Ibn Abbas r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. telah menentukan wajibnya zakat fitrah,  untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin,  oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang maqbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain. "(2)
(Riwayat Abu Daud)
Hadith ini, "asnad"nya elok (Jaiyyid) (3)
Menurut huraian ulama' rahimahullah orang yang melengahkan bayaran zakat fitrah sehingga luput waktunya yang ditentukan,  bukan sahaja berdosa,  bahkan wajib ia membayarnya sesudah itu.
Selagi zakat fitrah itu belum dibayar, maka zakat itu tetap menjadi hutang yang ditanggungnya, sehingga ia membayarnya walau pada akhir umurnya.(4)
______________________________
1. Fiqh Al-Sunnah (1:412).
2. 'Aun al-Ma`bud (5:3). Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Daruqutni.
(Fiqh al-Sunnah, 1:412).
3. Sebagaimana yang diterangkan dalam ulasan (Misykat al-Masabih, 1:572).
4. Fiqh al-Sunnah (1:414).

Masa Untuk Mengeluarkan Zakat Fitrah:
Menurut pegangan alim ulama' dalam mazhab Syafi'i masa bagi mengeluarkan fitrah, terbahagi kepada lima:
Pertama masa harus,  kedua masa wajib,  ketiga masa fadhilat, keempat masa makruh dan kelima masa haram. 
"Ada pun masa harus ialah - zakat fitrah itu - dikeluarkan pada awal bulan Ramadhan.  Masa wajib bila telah masuk matahari pada akhir bulan Ramadhan.  Masa Fadhilat sebelum keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya.  Masa makruh jika dita'khirkan selepas sembahyang hari raya dengan tiada uzur - dan masa haram:  Jika dita'khirkan hingga selepas hari raya dengan tiada uzur."(1)

Syarat-syarat Wajib Mengeluarkan Zakat Fitrah: 
Syarat-syarat wajibnya:
(1) Islam.
(2) Merdeka. 
(3) Orang yang mempunyai sesuatu (makanan, harta atau wang) yang lebih daripada keperluannya dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya(2), untuk satu malam dan satu hari - hari raya itu.
Orang-orang yang wajib ditanggung nafkahnya ialah isteri (3) atau isteri-isteri, anak-anak dan juga ibu atau bapa yang miskin. (4)

Masalah Niat Semasa Membayar Zakat Fitrah: 
Menurut huraian ulama' rahimahullah: Tidak sah menunaikan zakat melainkan dengan niat.  Ini berdasarkan hadith (Bukhari) yang menerangkan bahawa segala amal adalah berdasarkan niat. 
Masa berniat ialah semasa menyerahkan zakat.  Boleh juga didahulukan (semasa mengasingkan benda zakat itu untuk diserahkan), kerana zakat boleh diwakilkan.(5)
Jelasnya orang yang mengeluarkan zakat fitrah wajib berniat, sama ada pada masa menyerahkan fitrahnya atau sebelum itu - semasa mengasingkan untuk diserahkan. Niatnya seperti berikut: "Ini, zakat fitrah yang wajib bagi diriku pada tahun ini." Kalau berfitrah dengan Wang,  hendaklah berniat seperti berikut: "Ini, wang ganti beras zakat fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku, pada tahun ini."(6)

Masalah Zakat "Harta Zahir" dan Batin":
Menurut huraian ulama' rahimahullah zakat terbahagi dua. Pertama zakat harta zahir, kedua zakat harta batin. 
Harta zahir itu ialah binatang ternak, hasil tanaman dan benda-benda logam emas dan perak yang didapati dari lombongnya. (Ketiga-tiga jenis ini zakatnya telah diterangkan satu persatu pada bahagian yang lalu).
Harta batin pula ialah emas dan perak (yang sedia ada dalam simpanan), barang-barang perniagaan dan "rikaz"(7) (Ketiga-tiganya juga telah diterangkan pada bahagian yang lalu.)
Fitrah juga - menurut mazhab Syafi'i - termasuk dalam bahagian zakat harta batin. (8)
Dalam zaman Rasulullah s.a.w., biasanya Baginda mengutuskan pegawai-pegawainya mengumpulkan zakat - meliputi zakat harta zahir dan zakat harta batin - dan membahagikannya kepada orang-orang yang berhak menerimanya, demikian juga dilakukan oleh Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina Umar r.a., dalam zaman pemerintahan masing-masing.(9)
Amalan ini berterusan dilakukan oleh Saiyidina Uthman r.a. dalam zaman pemerintahannya beberapa tahun lamanya, tetapi setelah dilihatnya jenis-jenis harta batin bertambah banyak dan akan menyusahkan rakyat Islam kalau tiap-tiap seorang itu diselidik harta batinnya, maka Saiyidina Uthman r.a., menyerahkan soal menguruskan pembahagian zakat harta batin itu kepada tuan punya masing-masing.(10)
Masalah ini dihuraikan dalam kitab "Fiqh al-Sunnah" seperti berikut:
Alim ulama' ahli fiqah sekata bahawa orang-orang yang memiliki harta,  merekalah yang menguruskan pembahagian zakat masing-masing - kalau zakat itu zakat harta batin. Ini berdasarkan hadith riwayat Baihaqi.(11)
Tetapi alim ulama' tidak pula sekata tentang mana yang afdhal, pemilik batin itu yang menguruskan pembahagian zakatnya atau mereka menyerahkannya harta kepada pihak yang berkuasa Islam untuk dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya?
Menurut "qaul" yang terpilih dalam mazhab Syafi'i bahawa yang afdhal, pengeluar zakat itu menyerahkan kepada pihak yang berkuasa (ketua Islam) kalau ketua Islam itu adil. (12)
Menurut mazhab Hanbali pula bahawa yang afdhal, pengeluar zakat itu menguruskan pembahagiannya, tetapi kalau diserahkan kepada pihak yang berkuasa maka itu adalah harus (dibolehkan).
Mengenai zakat harta zahir pula menurut mazhab Hanafi dan mazhab Maliki,  ketua Islam dan pegawai-pegawainya - yang berkuasa menuntut dan memungutnya (untuk dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya).
Mazhab Syafi'i dan mazhab Hanbali mengenai zakat harta zahir ini sama sahaja dengan zakat harta batin (seperti yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu mengenai zakat harta batin).(13)
______________________________
1. Kitab kumpulan fatwa, terbitan Jabatan Agama Terengganu (hlm. 132).
2. Iaitu orang-orang (termasuk anak yang dilahirkan) yang hidup pada masa satu saat sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan sehingga satu saat pada awal bulan Syawal - tiap-tiap tahun. (Kitab Al-Itharah, hlm. 3).
3. Termasuk jandanya yang di dalam idah talak raj'i atau ba'in yang hamil. 
4. Kitab yang sama (hlm. 3).
5. Al-Muhazzab (1:177).
6. Al-Itharah (hlm. 3).
7. Al-Muhazzab (1:175).
8. Al-Itharah (hlm. 4).
9. Fiqh Al-Sunnah (1:402).
10. Kitab yang sama (1:402).
11. 'Isnad'nya Sahih. 
12. Menurut kitab al-Muhazzab (1:175) ada tiga wajah dalam mazhab Syafi'i mengenai zakat harta batin.
Pertama: Yang afdhal, pengeluar zakat itu menguruskan pembahagiannya.
Kedua:   Yang afdhal, diserahkan kepada ketua Islam, sama ada ketua Islam itu adil atau zalim. 
Ketiga:   Yang afdhal, diserahkan kepada ketua Islam kalau ia adil,  kalau ia zalim,  maka yang afdhal pengeluar zakat menguruskan pembahagian zakatnya sendiri.
13. Fiqh al-Sunnah (1:402).
Masalah Menyerahkan Zakat Kepada Pihak Yang Berkuasa Islam Sama ada Yang Adil Atau Sebaliknya
Masalah ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
102- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ أَتَى رَجُلٌ مِنْ بَنِي تَمِيمٍ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ حَسْبِي يَا رَسُولَ اللَّهِ إِذَا أَدَّيْتُ الزَّكَاةَ إِلَى رَسُولِكَ فَقَدْ بَرِئْتُ مِنْهَا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَمْ إِذَا أَدَّيْتَهَا إِلَى رَسُولِي فَقَدْ بَرِئْتَ مِنْهَا فَلَكَ أَجْرُهَا وَإِثْمُهَا عَلَى مَنْ بَدَّلَهَا. (رواه الإمام أحمد)
102- Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Seorang dari kaum Arab Bani Tamim datang mengadap Rasulullah s.a.w. lalu meminta penjelasan,  katanya: "Ya Rasulullah,  cukupkah apabila saya membayar zakat kepada utusan tuan maka dengan yang demikian terlepaslah tanggungan saya - di sisi hukum Allah dan Rasul-Nya - mengenai zakat saya itu?"
"Ia (benar)." Jawab Rasulullah s.a.w.: "Apabila engkau membayarnya kepada utusanku maka terlepaslah tanggunganmu mengenainya di sisi hukum Allah dan Rasul-Nya; selain itu engkau pula mendapat pahalanya dan (kalau ada pemungut zakat) yang menyelewengkannya maka dialah yang menanggung dosanya."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Al-Imam Ahmad).
______________________________
1. Al-Fath al-Rabbani (9:36). Menurut al-Alamah al-Haithami: Hadith ini juga diriwayatkan oleh al-Tabrani dan perawi-perawinya ialah perawi-perawi hadith sahih.  (Kitab yang sama,  9:36).


Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:
103- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّهَا سَتَكُونُ بَعْدِي أَثَرَةٌ وَأُمُورٌ تُنْكِرُونَهَا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ تَأْمُرُ مَنْ أَدْرَكَ مِنَّا ذَلِكَ قَالَ تُؤَدُّونَ الْحَقَّ الَّذِي عَلَيْكُمْ وَتَسْأَلُونَ اللَّهَ الَّذِي لَكُمْ. (رواه البخاري ومسلم)
103- Dari (Abdullah) bin Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya akan berlaku kemudian daripada zamanku perbuatan mementingkan diri dan perkara-perkara yang kamu tidak setujui." Sahabat-sahabat Baginda berkata:  Ya Rasulullah,  (jika berlaku yang demikian), apa yang kami akan lakukan?"
"Baginda bersabda: "Tunaikanlah hak (pemerintah Islam) yang menjadi tanggungan kamu, dan pohonkanlah kepada Allah (membuka hati pihak pemerintah) untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada kamu"(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)
______________________________
1. Fiqh al-Sunnah (1:403) dan Nail al-Autar (4:165). Menurut huraian Fath al-Bari (16:111): Di antara hak pemerintah yang dimaksudkan di sini ialah penyerahan zakat kepadanya (apabila zakat itu dituntut) dan sedia berkorban apabila dikerah dalam peperangan jihad (menentang pencerobohan musuh).

Dijelaskan lagi dalam hadith yang berikut:
104- عَنْ وَائِلِ بْنِ حُجْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجُلٌ سَأَلَهُ فَقَالَ أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ عَلَيْنَا أُمَرَاءُ يَمْنَعُونَا حَقَّنَا وَيَسْأَلُونَا حَقَّهُمْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا فَإِنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ. (رواه مسلم والترمذي)
104- Dari Wa'il bin Hujr r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. semasa seorang sedang bertanya. Orang itu berkata:  "Bagaimana (hukumnya) Ya Rasulullah kalaulah kami berada dalam pemerintahan ketua-ketua yang menyekat hak kami dan mereka pula menuntut haknya?"
Baginda menjawab:  "Dengarlah dan taatlah kamu (kepada ketua-ketua kamu itu), kerana sesungguhnya mereka bertanggungjawab terhadap tugas (sebagai pemerintah) yang mereka pikul dan kamu juga bertanggungjawab terhadap tugas (sebagai rakyat) yang kamu pikul."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Tugas Pemerintah Mengenai Zakat:
Zakat - meliputi zakat harta dan zakat fitrah - disyariatkan oleh Allah Taala untuk membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, terutama kaum fakir miskin dalam masyarakat Islam(2) dan pihak pemerintahlah yang lebih layak mengendalikan pemungutan dan pembahagian zakat itu dengan cara yang sah dan sempurna. 
Menurut huraian ulama', rahimahullah, wajib atas ketua Islam menghantar `amil-amilnya memungut zakat,  kerana Rasulullah s.a.w. dan khalifah-khalifah Islam, sesudah zaman baginda melakukan yang demikian, dan juga kerana terdapat dalam kalangan orang ramai - pemilik-pemilik harta yang tidak mengetahui setakat mana yang wajib dikeluarkan zakatnya dan ada pula yang bakhil dan keberatan membayar zakat. .."(3)
Di negara kita, pemungutan dan pembahagian zakat,  dikendalikan oleh pihak yang berkuasa Islam (raja-raja) melalui jabatan-jabatan Agama di negeri masing-masing.
Untuk panduan umum,  alim ulama' menjelaskan apabila pihak pemerintah melantik 'amil-'amilnya untuk memungut zakat,  maka perintahnya wajib dipatuhi(4). Kalau ada yang menyerahkan zakatnya pada pihak lain, maka zakatnya itu tidak sah. (5)
______________________________
1. Nail al-Autar (4:165).
2. Menurut huraian Hujjat al-Islam al-Imam al-Ghazali rahimahullah, bahawa zakat itu bukanlah suatu "budi" dari pihak yang berada, tetapi suatu hak yang wajib ditunaikan kerana Allah semata-mata, sebagai bantuan kepada orang-orang yang memerlukan bantuan.  (Ihya 'Ulumuddin, 1:231).
3. Al-Muhazzab (1:175).
4. Kitab Al-Itharah (dalam bahagian pendahuluan penyusunnya) terbitan Jabatan Agama Islam Selangor.
5. Kitab kumpulan fatwa (hlm. 20) terbitan Jabatan Agama Terengganu.

Kedudukan 'Amil Dalam Islam:
'Amil atau pemungut zakat yang menjalankan tugasnya dengan cara yang baik,  betul dan sempurna - diberikan penghargaan seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:
105- عَنْ رَافِعِ بْنِ خَدِيجٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْعَامِلُ عَلَى الصَّدَقَةِ بِالْحَقِّ كَالْغَازِي فِي سَبِيلِ اللَّهِ حَتَّى يَرْجِعَ إِلَى بَيْتِهِ. (رواه الترمذي)
105- Dari Rafi' bin Khadij r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "'Amil yang memungut zakat dengan cara yang benar,  samalah (pahalanya) seperti orang yang berjihad pada jalan Allah sehinggalah ia kembali ke rumahnya."(1)
(Hadith Hasan - Riwayat Tirmizi).
______________________________
1. Tuhfah al-Ahwazi (3:307).



DIPETIK DARI LINK  :

http://www.islamgrid.gov.my/hadith/detailed.php?id=14&j=3

TERIMAK KASIH ..

JAZAK ALLAH KHAYR ...


 

SURAH AL BAQARAH AYAT 1-5 AYAT 255 DAN AYAT 284-286 ..

Di bacaa waktu SUBUH dan Maghrib.. Penghalang ahli sihir dan penyelamat hari kiamat.. Dinukil dari hadit...