Perincian Hukum Orang Yang Meninggalkan Solat
Orang yang tidak menunaikan solat, hukumnya terbahagi kepada dua:
Sekiranya dia meninggalkan solat kerana malas semata-mata, maka dia seorang Muslim berdosa besar (fasik) dan bermaksiat (‘asi), masih belum jatuh kafir.
Jika dia meninggalkan solat kerana mempertikaikan kewajiban solat, dan menganggapnya tidak wajib, maka barulah dia dihukum sebagai kafir.
Hal ini berdasarkan perincian Imam Ibn Qasim al-Ghazzi seperti berikut:
“Orang yang meninggalkan mana-mana solat daripada solat fardu lima waktu, terbahagi kepada dua:
Jika seorang mukallaf meninggalkannya dalam keadaan tidak beriktikad akan kewajibannya, maka hukumnya adalah hukum orang murtad.
Jika seseorang tidak menunaikan solat hingga keluar waktunya kerana malas, namun dia masih beriktikad bahawa solat itu wajib, maka dia masih Muslim yang berdosa besar.
Dianjurkan untuk mengarahkannya bertaubat dan melaksanakan solat semula, jika dia enggan, maka pemimpin boleh menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya, atas dasar hukuman hudud, bukan kerana dia murtad.
Hukumnya masih lagi hukum kaum Muslimin dari sudut pengurusan jenazah dan pengebumiannya.”
(Lihat Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, hal. 292)
Sedekah, Namun Tidak Solat
Seorang Muslim yang banyak bersedekah namun dia meninggalkan solat kerana malas dan culas, dia masih dinilai sebagai seorang Muslim.
Namun, dia merupakan seorang Muslim yang bermaksiat (‘asi) dan berdosa besar (fasik).
Pahala sedekahnya masih dicatatkan dan dikira, walaupun demikian, dosa besar meninggalkan solat kerana malas dan culas juga akan disertakan dalam buku catatan amalannya.
Semua amalan, baik yang kecil mahupun yang besar, pasti dicatat dan dikira dalam buku amalan setiap manusia.
Allah SWT berfirman:
وَوُضِعَ ٱلۡكِتَـٰبُ فَتَرَى ٱلۡمُجۡرِمِینَ مُشۡفِقِینَ مِمَّا فِیهِ وَیَقُولُونَ یَـٰوَیۡلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا ٱلۡكِتَـٰبِ لَا یُغَادِرُ صَغِیرَةࣰ وَلَا كَبِیرَةً إِلَّاۤ أَحۡصَىٰهَاۚ وَوَجَدُوا۟ مَا عَمِلُوا۟ حَاضِرࣰاۗ وَلَا یَظۡلِمُ رَبُّكَ أَحَدࣰا
Maksudnya:
“Dan apabila kitab amalan diletakkan di hadapan mereka dan orang-orang yang zalim itu merasa takut akan diri nasib diri mereka seraya mengatakan:
“Aduhai!
Betapa celakanya diri kami.
Kitab apa ini?
Tiada suatu pun amalan yang kecil mahupun yant besar melainkan ia terkandung di dalamnya.
Dan mereka akan mendapati amalan mereka akan dibentangkan di hadapan mereka.
Dan Tuhanmu sama sekali tidak pernah menzalimi sesiapa pun.”
(Surah al-Kahfi: 49)
Sesiapa yang melakukan amalan baik atau buruk walau sebesar zarah pun, pasti dia akan melihat amalan tersebut dicatat dan dibalas.
Allah SWT berfirman:
فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَیۡرࣰا یَرَهُۥ ٧ وَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةࣲ شَرࣰّا یَرَهُۥ ٨
Maksudnya:
“Sesiapa yang beramal dengan kebaikan sebesar zarah pun, pasti dia akan mendapatinya (tertulis dan dibalas)
[7] Sesiapa yang beramal dengan keburukan sebesar zarah pun, pasti dia akan mendapatinya (tertulis dan dibalas).”
(Surah al-Zalzalah: 7-8)
Maka, semua amalan, sama ada kecil mahupun besar, sedikit atau pun banyak, pasti akan dicatat dan dikira, juga pasti akan diperlihatkan dan dibalas tanpa terkecuali.
No comments:
Post a Comment