Tuesday, April 14, 2026

ISTIGHFAR SEBANYAKNYA ..


 Ibnu Qayyim pula mengisahkan;

 “Aku sering menyaksikan guruku, Syaikhul Islam (Ibnu Taimiyah) ketika menghadapi masalah-masalah berat, beliau segera bertaubat kepada Allah, memperbanyakkan istighfar, bersandar kepada-Nya dan mengharap turunnya kebenaran dari-Nya.


Biasanya tidak lama selepas itu, bantuan daripada Allah pun turun mencurah-curah sehingga beliau boleh memilih mana-mana sahaja jalan penyelesaian yang beliau mahu.


Ibnu Taimiyah sendiri berkata,

 “Saat ada masalah yang amat pelik dan rumit, yang membuatkan aku berasa buntu, maka aku akan beristighfar kepada Allah sebanyak 1000 kali atau lebih kurang, sampai Allah bukakan dan pecahkan masalah masalah untukku.”





Kisah istighfar Imam Hasan Al-Basri yang paling masyhur adalah ketika beliau didatangi oleh beberapa orang yang membawa masalah hidup yang berbeza-beza, namun beliau memberikan satu jawapan yang sama kepada semuanya:


 "Beristighfarlah kepada Allah". 


Kisah ini diceritakan oleh Al-Qurtubi dalam tafsirnya dan sering dipetik oleh para ulama untuk menunjukkan "keajaiban" istighfar sebagai kunci pembuka rezeki: 


Masalah Pertama (Kekeringan):

 Orang pertama mengadu tentang musim kemarau dan tanah yang gersang. Hasan Al-Basri berkata,

 "Beristighfarlah."


Masalah Kedua (Kemiskinan): 

Orang kedua datang mengadu tentang kesempitan hidup dan kefakiran. Hasan Al-Basri menjawab,

 "Beristighfarlah."


Masalah Ketiga (Keturunan): 

Orang ketiga mengadu bahawa dia belum dikurniakan anak (isterinya mandul). Beliau tetap menjawab,

 "Beristighfarlah."

 
Seorang muridnya, Ar-Rabi' bin Sabih, kehairanan dan bertanya mengapa setiap masalah yang berbeza diberikan penawar yang sama.

 Hasan Al-Basri kemudian membacakan Surah Nuh, ayat 10-12 sebagai dalil: 


"Maka aku katakan kepada mereka:

 'Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.'"







WALLAHU A'LAM ..


No comments:

14 April .. today I'm 64 ..