Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ
Maksudnya: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan
al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)
Orang Kaya Yang Miskin Di Akhirat
عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ خَرَجْتُ لَيْلَةً مِنْ اللَّيَالِي فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْشِي وَحْدَهُ وَلَيْسَ مَعَهُ إِنْسَانٌ قَالَ فَظَنَنْتُ أَنَّهُ يَكْرَهُ أَنْ يَمْشِيَ مَعَهُ أَحَدٌ قَالَ فَجَعَلْتُ أَمْشِي فِي ظِلِّ الْقَمَرِ فَالْتَفَتَ فَرَآنِي فَقَالَ مَنْ هَذَا قُلْتُ أَبُو ذَرٍّ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ يَا أَبَا ذَرٍّ تَعَالَهْ قَالَ فَمَشَيْتُ مَعَهُ سَاعَةً فَقَالَ إِنَّ الْمُكْثِرِينَ هُمْ الْمُقِلُّونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَّا مَنْ أَعْطَاهُ اللَّهُ خَيْرًا فَنَفَحَ فِيهِ يَمِينَهُ وَشِمَالَهُ وَبَيْنَ يَدَيْهِ وَوَرَاءَهُ وَعَمِلَ فِيهِ خَيْرًا
Daripada Abu Dzar RA dia berkata; “Pada suatu malam, aku pernah keluar rumah, tiba-tiba aku melihat Rasulullah SAW berjalan sendirian tanpa ditemani oleh seorang pun, aku menyangka mungkin baginda ingin berjalan tanpa ditemani oleh orang lain, maka aku pun berjalan di bawah bayangan rembulan, ternyata baginda menoleh dan melihatku, baginda bersabda: ‘Siapakah itu? ‘ Aku menjawab; ‘Saya… Abu Dzar. Demi Allah yang menjadikanku sebagai tebusanmu.’ Baginda bersabda: ‘Wahai Abu Dzar, kemarilah.’ Abu Dzar melanjutkan; ‘Lalu aku berjalan bersama baginda beberapa ketika, lantas baginda bersabda: ‘Sungguh orang-orang yang banyak harta (mengumpulkan harta) akan menjadi sedikit (melarat) pada hari kiamat, kecuali yang diberikan kebaikan oleh Allah padanya dengan harta tersebut lalu ia memberikannya serta membuat kebajikan dengan harta tersebut ke kirinya, kanannya, hadapannya serta belakangnya (dia menggunakan harta tersebut) dengan baik.’ (HR Bukhari No: 5962) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
- Orang yang banyak harta di dunia tidak semestinya akan berterusan kaya di akhirat. Orang yang miskin di dunia tidak semestinya akan juga miskin di akhirat.
- Orang yang kaya di dunia, di akhirat akan jadi miskin dan melarat apabila harta yang dihimpun bukan dari jalan yang halal dan harta itu tidak digunakan untuk menambah pahala kebaikan. Firman Allah:
وَٱلَّذِينَ يَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٖ ٣٤ يَوۡمَ يُحۡمَىٰ عَلَيۡهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكۡوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمۡ وَجُنُوبُهُمۡ وَظُهُورُهُمۡۖ هَٰذَا مَا كَنَزۡتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ فَذُوقُواْ مَا كُنتُمۡ تَكۡنِزُونَ
Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya (34). (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (At-Taubah: 34-35)
- Orang yang kaya di dunia akan juga kaya di akhirat apabila ia menggunakan harta tersebut untuk kebajikan dan kebaikan sepanjang masa pada keluarga, masyarakat dan Negara melalui zakat, wakaf, sedekah, derma, infak kebajikan dan amalan kebaikan yang lain.
- Kita dilarang mengumpulkan harta di dunia tanpa dibelanjakan pada jalan Allah yang mendatangkan ganjaran pahala yang berterusan buat kita.
Jangan sekali-kali kita menjadi kaya di dunia namun miskin di akhirat kerana tamak, bakhil, bermegah dan takabur dengan harta kekayaan semasa di dunia.
WALLAHU 'ALAM ..
No comments:
Post a Comment