Sunday, October 20, 2024

MATI SYAHID ..


 

Golongan yang meninggal dunia akibat runtuhan bangunan atau gempa bumi merupakan mereka yang tergolong dalam kategori orang yang mati syahid akhirat dan jenazahnya perlu diuruskan seperti jenazah-jenazah yang lain mengikut syariat islam

 

Huraian Jawapan

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Orang yang mati syahid mempunyai kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. 

 

Firman Allah SWT:

 

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلصِّدِّيقُونَ ۖ وَٱلشُّهَدَآءُ عِندَ رَبِّهِمْ لَهُمْ أَجْرُهُمْ وَنُورُهُمْ ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَحِيمِ

 

Maksudnya:

 

 Orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya, merekalah pada sisi (hukum) Tuhan mereka, (orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi darjatnya) seperti orang "Siddiqin" dan orang yang mati Syahid; mereka akan beroleh pahala dan cahaya. Dan (sebaliknya) orang yang kufur ingkar serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli Neraka.”

Surah al-Hadid (19)

 

Imam Ibn Kathir menjelaskan dalam tafsirnya berkenaan orang-orang yang mati syahid di jalan Allah SWT akan memperoleh pahala yang besar di sisi-Nya dan cahaya yang terang benderang di hadapan mereka[1]


Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sesiapa yang mati di jalan Allah SWT dalam apa jua jenis keadaan, maka dia dikira sebagai syahid. 


Ulama berpandangan mati syahid merupakan rahmat Allah SWT kepada mereka sebagai satu kelebihan atas kesakitan dan keperitan yang dialami saat kematiannya.[2]

 

Terdapat beberapa hadis yang menceritakan berkenaan hal ini. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA dalam Sahih Muslim[3] dan Sahih Bukhari[4], sabda Nabi SAW:

 

‏الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْغَرِقُ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏‏‏.‏

 

Maksudnya:  

Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas,orang yang ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.

 

(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

 

Dalam al-Muwatha’, Imam Malik menyebut sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Atik bahawa Nabi SAW bersabda[5]:

 

الشُّهَدَاءُ سَبْعَةٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ: الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ، وَالْغَرِيقُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ، وَالَّذِي يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ.

 

Maksudnya: 

“Orang yang mati syahid selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh ;

 iaitu korban wabak taun adalah syahid, 

mati kerana tenggelam adalah syahid, 

penderita penyakit radang paru-paru adalah syahid, 

mati kerana sakit perut adalah syahid, 

mati akibat tertimpa runtuhan adalah syahid, 

 seorang wanita yang mati kerana melahirkan anak adalah syahid dan orang yang mati kerana kebakaran adalah syahid.”

 

(Riwayat Malik)

 

Menurut penilaian Imam Nawawi, hadis ini sahih tanpa sebarang khilaf.[6] 

 

Secara ringkasnya, Imam Syihabuddin al-Ramli berpandangan bahawa orang yang mati dalam keadaan syahid boleh dikategorikan kepada tiga golongan iaitu[7]:

 

Syahid di dunia dan akhirat iaitu orang yang gugur terbunuh dalam medan peperangan di jalan Allah SWT kerana menentang golongan kafir dan berniat ikhlas untuk meninggikan kalimah Allah SWT.
 
 Golongan ini baginya pahala di dunia dan akhirat.
 
Syahid di akhirat sahaja iaitu orang yang terbunuh dalam keadaan dizalimi tetapi bukan gugur terbunuh di medan peperangan. 
Mereka ini tergolong dalam hadis yang disebutkan di atas seperti orang yang mati kerana lemas, orang mati dalam runtuhan, orang yang mati kerana penyakit perut dan orang yang mati dalam kebakaran.
 
Syahid di dunia sahaja iaitu orang yang berperang di jalan Allah SWT tetapi berniat semata-semata untuk mendapatkan harta rampasan perang, terbunuh ketika sedang cuba melarikan diri daripada medan peperangan, berperang hanya kerana riya dan lain-lain lagi.

Terdapat perbezaan berkenaan kaedah pengurusan jenazah bagi ketiga-tiga golongan ini. 

 

Golongan syahid dunia dan akhirat tidak perlu dimandikan jenazahnya, tidak perlu dikafankan bahkan hanya memadai memakai pakaiannya ketika mati dan tidak perlu disolatkan. Jenazah mereka boleh terus ditanam dan dikebumikan.  

 

Adapun golongan syahid akhirat maka akan mendapat pahala syahid di akhirat dan wajib ke atas jenazahnya untuk diuruskan seperti dimandikan, dikafankan dan disolatkan seperti biasa[8]

 

Manakala bagi golongan syahid dunia, maka jenazahnya tidak perlu dimandikan dan tidak perlu disolatkan[9]

 

 Golongan ini tidak mendapat pahala syahid yang sempurna di akhirat kerana secara zahirnya mereka itu mati berperang di jalan Allah SWT namun persoalan pahala dan dosa itu terserah kepada Allah SWT[10].

 

Berdasarkan kepada persoalan di atas, orang islam yang mati akibat berlakunya gempa bumi termasuk dalam kategori kumpulan kedua iaitu golongan yang syahid akhirat sahaja. Ini kerana, mereka juga mengalami situasi yang sama iaitu mati dalam keadaan ditimpa runtuhan bangunan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

 

وَصَاحِبُ الْهَدْمِ من يموت تحته

 

Maksudnya: 

 

“Orang yang ditimpa runtuhan adalah mereka yang mati di bawah runtuhan tersebut.”

 

Kesimpulan

Tuntasnya, mereka yang mati akibat berlakunya gempa bumi dan ditimpa runtuhan bangunan termasuk dalam golongan mereka yang mati syahid akhirat sahaja seperti mana jelas dinyatakan dalam hadis tersebut. Mereka tetap mendapat pahala akhirat seperti mana janji Allah SWT ke atas mereka dan jenazah tersebut juga perlu dikendalikan seperti jenazah-jenazah yang lain mengikut syariat islam.

Wallahu a’lam.

 

Imam al-Tirmizi meriwayatkan hadis ini dengan sanadnya. Kata beliau :

“Ubaid Bin Asbat Bin Muhammad al-Qurasyi al-Kufi menceritakan kepada kami. Ayahku (Asbat Bin Muhammad) menceritakan kepada kami. Abu Sinan al-Syaibani menceritakan kepada kami daripada Abu Ishak al-Sabi’ie. Beliau berkata: Sulaiman Bin Suradin berkata kepada Khalid Bin ‘Urfutah atau Khalid berkata kepada Sulaiman

أَمَا سَمِعْتَ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ مَنْ قَتَلَهُ بَطْنُهُ لَمْ يُعَذَّبْ فِى قَبْرِهِ فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ نَعَمْ

 

Maksudnya :”: 

 Tidakkah engkau mendengar Rasulullah SAW bersabda :sesiapa yang dibunuh oleh perutnya (iaitu sakit perut) dia tidak akan di azab di dalam kuburnya. 

Salah satu dari kedua-duanya (iaitu Khalid dan Sulaiman) berkata kepada yang lain : 

Ya aku pernah mendengar hadis tersebut.

Riwayat al-Tirmizi (1085)

Imam al-Tirmizi memberi komentar berkenaan hadis ini bahawa ini adalah hadis hasan gharib di dalam bab ini dan hadis ini telah diriwayatkan di dalam bentuk yang lain.

Rujuk Jami’ al-Tirmizi (4/328)

Ibnu Hibban pula meriwayatkan dengan sanadnya berkata : :

 

”Al-Fadhl Bin Al-Hubab mengkhabarkan kepada kami. 

Beliau berkata: 

Abu Walid dan Al-Haudi menceritakan kepada kami. 

Kedua-duanya berkata :

 Syu’bah menceritakan kepada kami daripada Jami’ Bin Syaddad. 

Beliau berkata :

سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ يَسَارٍ ، عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ صُرَدٍ ، وَخَالِدِ بْنِ عُرْفُطَةَ ، أَنَّهُمَا بَلَغَهُمَا أَنَّ رَجُلًا مَاتَ بِبَطْنٍ ، فَقَالَ أَحَدُهُمَا : أَلَمْ يَبْلُغْكُمْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ قَتَلَهُ بَطْنُهُ لَمْ يُعَذَّبْ فِي قَبْرِهِ. قَالَ الْآخَرُ : صَدَقْتَ وَقَالَ الْحَوْضِيُّ : بَلَى

 

Maksudnya: 

Aku mendengar daripada Abdullah Bin Yasar daripada Sulaiman Bin Suradin dan Khalid Bin ‘Urfutah, kedua-duanya dimaklumkan bahawa ada seorang lelaki yang mati kerana sakit perut. Salah satunya berkata : Tidakkah sampai kepada kalian bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : Sesiapa yang dibunuh oleh perutnya (sakit perut) di tidak akan diazab di dalam kubur. 

Kata yang seorang lagi : 

Engkau benar. 

Al-Haudi berkata : Benar.”

Riwayat Ibnu Hibban (2933) di dalam sahihnya.

 

Sheikh Syu’aib Al-Arnaut di dalam kajiannya terhadap hadis ini beliau menyatakan sanad hadis ini adalah sanad sahih.

Al-Tabarani di dalam Al-Mu’jam Al-Kabir meriwayatkan hadis ini dengan sanadnya. Beliau berkata :

” Muhammad Bin Al-Fadhl Al-Saqati menceritakan kepada kami.

Sa’id Bin Sulaiman menceritakan kepada kami. 

Ayub Bin Jabir menceritakan kepada kami. Jami’ Bin Syaddad daripada Abdullah Bin Yasar al-Juhani. 

Beliau berkata :

 

قَالَ سُلَيْمَانُ بن صُرَدٍ ، لِخَالِدِ بن عُرْفُطَةَ : أَمَا سَمِعْتَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : مَنْ قَتَلَهُ بَطْنُهُ لَمْ يُعَذَّبْ فِي قَبْرِهِ ؟ قَالَ خَالِدٌ : نَعَمْ

Maksudnya : 

“Sulaiman Bin Suradin berkata kepada Khalid Bin Urfutah : Tidakkah engkau mendengar Rasulullah SAW bersabda : 

Sesiapa yang dibunuh oleh perutnya, dia tidak akan diazab di kuburnya.

 Khalid berkata : Ya.”

 

Riwayat al-Tabarani (3995) di dalam Al-Mu’jam Al-Kabir

Di dalam Musnad Ahmad, Imam Ahmad pernah meriwayatkan hadis ini dengan tiga jalan riwayat.

  • Muhammad Bin Jaafar telah menceritakan kepada kami,Syu’bah menceritakan kepada kami daripada Jami’ Bin Syaddad daripada Abdullah Bin Yasar. 
  • Beliau berkata :
  •  

كُنْتُ جَالِسًا مَعَ سُلَيْمَانَ بْنِ صُرَدٍ ، وَخَالِدِ بْنِ عُرْفُطَةَ وَهُمَا يُرِيدَانِ أَنْ يَتْبَعَا جِنَازَةَ مَبْطُونٍ ، فَقَالَ : أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ ، أَلَمْ يَقُلْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ يَقْتُلُهُ بَطْنُهُ ، فَلَنْ يُعَذَّبَ فِي قَبْرِهِ ؟ فَقَالَ : بَلَى

 

Maksudnya,:

 “Aku duduk bersama Sulaiman Bin Suradin dan Khalid Bin ‘Urfutah.

 Kedua-duanya mahu mengiringi satu jenazah yang mati disebabkan sakit perut. 

Salah seorang daripada keduanya berkata kepada yang seorang lagi :

 Bukankah Rasulullah SAW bersabda : 

sesiapa yang dibunuh oleh perutnya, maka dia tidak akan diazab di kuburnya?. 

Seorang lagi berkata: Ya, betul.”

Riwayat Imam Ahmad (18500)

Dengan sanad yang lain juga beliau meriwayatkan hadis ini. 

Kata Imam Ahmad :

Bahzun menceritakan kepada kami. Syu’bah menceritakan kepada kami. Jami’ Bin Syaddad mengkhabarkan kepada aku. 

Beliau berkata : 

Aku mendengar Abdullah Bin Yasar menyebut :

 

كَانَ سُلَيْمَانُ بْنُ صُرَدٍ ، وَخَالِدُ بْنُ عُرْفُطَةَ قَاعِدَيْنِ قَالَ : فَذُكِرَ أَنَّ رَجُلاً مَاتَ بِالْبَطْنِ ، فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ : أَمَا سَمِعْتَ ، أَوَمَا بَلَغَكَ ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ مَنْ قَتَلَهُ بَطْنُهُ ، فَلَنْ يُعَذَّبَ فِي قَبْرِهِ ؟ قَالَ الآخَرُ : بَلَى

 

Maksudnya :

 

”Pernah terjadi di mana Sulaiman Bin Suradin dan Khalid Bin ‘Urfutah duduk bersama-sama. 

 

Kata Abdullah :

 Kemudian disebut tentang seorang lelaki yang mati kerana sakit perut. 

Salah seorang menyebut : 

tidakkah engkau mendengar atau tidakkah sampai kepada engkau bahawa Rasulullah SAW bersabda : 

Sesiapa yang mati kerana sakit perut dia tidak akan diazab di kuburnya.

Seorang lagi berkata : Benar.”

 

Riwayat Imam Ahmad (18501)

 

 

 

No comments:

4 KALIMAT TASBIH TAHMID TAHLILDAN TAKBIR ...

  KALIMAT ZIKIR MENGELILINGI ARSY    بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ     Dari an-Nu’man bin Basyir berkata, Rasulullah SAW bersabda:  ...